UiTM Pahang Terajui ‘Pahang Biodiversity Adventure 2026’, Satukan 11 Daerah

JENGKA, 14 MEI 2026 – Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang dengan kerjasama strategik Majlis Biodiversiti Pahang, melakar sejarah apabila berjaya menyatukan komuniti dari kesemua 11 daerah di negeri Pahang melalui gerakan Pahang Biodiversity Adventure 2026 atau Jelajah Biodiversiti Pahang 2026 (JBP2026).

Program berskala negeri yang berlangsung dari 14 April hingga 14 Mei 2026 ini dianjurkan bersempena dengan Bulan Sains Masyarakat serta pertandingan antarabangsa berprestij, City Nature Challenge (CNC) Pahang 2026.

Gerakan ini turut mendapat sokongan padu rakan sinergi utama termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), Tourism Pahang, institusi pendidikan, agensi-agensi kerajaan, serta komuniti setempat di seluruh rantaian negeri Pahang.

Melalui pendekatan berteraskan Citizen Science (Sains Masyarakat) yang inklusif, JBP2026 membuka ruang seluas-luasnya kepada orang awam untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti penerokaan alam semula jadi, pembelajaran alam sekitar, serta penyertaan digital menggunakan platform global, iNaturalist.

Sepanjang sebulan fasa jelajah berlangsung, program ini telah mencatatkan pencapaian luar biasa melalui pengumpulan data lapangan seperti berikut:

  • 24,488 jumlah pemerhatian (observations) biodiversiti berjaya direkodkan.

  • 5,144 spesies flora dan fauna tempatan berjaya dikenal pasti.

  • 645 pemerhati (observers) terlibat secara aktif di lapangan.

  • 785 pengenal pasti spesies (identifiers) menyumbang kepakaran secara digital.

Berdasarkan pecahan data, Daerah Bera muncul sebagai daerah yang mencatatkan jumlah pemerhatian tertinggi, manakala Daerah Maran merekodkan indeks kepelbagaian spesies paling tinggi sepanjang program berjalan.

Kejayaan JBP2026 ini sekali gus membuktikan evolusi fungsi perpustakaan akademik dan awam yang kini bukan lagi sekadar gedung buku, tetapi telah berkembang sebagai hub pembelajaran dinamik, peneraju pendidikan STEM, serta pemangkin literasi alam sekitar berasaskan teknologi.

Sinergi mantap antara UiTM Cawangan Pahang dan agensi-agensi negeri ini bukan sahaja memperkasa pemuliharaan alam sekitar, malah membuktikan komitmen jitu UiTM sebagai sebuah institusi menara gading yang memacu perkongsian ilmu, pembangunan mampan (SDG), serta kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.