
KUALA PILAH, 9 Jun 2026 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Biologi (BIOSMARTEAM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah dengan kerjasama strategik Yakult Malaysia telah berjaya menganjurkan Program BioCare 3.0: Happy Tummy, Healthy Gut.
Program yang berlangsung dari 1 hingga 20 Mei 2026 ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan usus serta membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa.
Kemuncak program diakhiri dengan Majlis Penutupan bertempat di Dewan Kuliah 200 (DK200), Kampus Kuala Pilah, yang turut dihadiri oleh pihak pengurusan universiti, barisan pensyarah, para pelajar, serta wakil pengurusan Yakult Malaysia.
Sepanjang fasa penganjuran, BioCare 3.0 telah memayungi pelbagai subprogram menarik yang dijalankan secara hibrid bagi menarik minat penyertaan pelajar. Antaranya termasuklah pertandingan kuiz dalam talian, Probiotic Pulse: The Gut Health Quiz pada 10 Mei, serta pertandingan reka bentuk poster, The Gut Gallery: Poster Design Challenge pada 14 Mei 2026 yang mengangkat jenama Yakult sebagai simbolik kepada kolaborasi industri-akademik ini.


Sebagai pengisian utama majlis penutupan, satu sesi ceramah kesihatan eksklusif bertajuk “Discover the Gut and Intestines” telah disampaikan oleh wakil Yakult Malaysia, Cik Yau Bee Sin. Slot tersebut berjaya memberi pendedahan tuntas kepada 123 orang peserta mengenai impak kesihatan sistem penghadaman terhadap imuniti badan, kepentingan probiotik, selain diserikan dengan aktiviti kuiz interaktif serta edaran minuman Yakult Ace secara percuma.
Penasihat Program, Encik Mohd Syahril Bin Mohd Zan, dalam ucapan perasmian penutupnya menegaskan bahawa kolaborasi antara pihak universiti dan gergasi industri seperti Yakult Malaysia merupakan platform terbaik dalam memperluas impak ilmu pengetahuan kepada masyarakat.
“Isu penjagaan usus sering dipandang ringan, sedangkan ia merupakan antara tunjang utama kesejahteraan fizikal dan sistem imun manusia. Penganjuran program berimpak tinggi dan berunsurkan kesukarelawanan seperti ini bukan sahaja mendidik, malah menjadi medan terbaik untuk mahasiswa BIOSMARTEAM mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, serta tanggungjawab sosial mereka,” ujar beliau.
Penganjuran BioCare 3.0 ini diharapkan dapat menjadi pencetus momentum berterusan dalam melahirkan warga kampus yang prihatin terhadap kesihatan holistik, sekali gus menyokong hasrat melahirkan masyarakat yang sihat, produktif, dan sejahtera.
