
SHAH ALAM, 18 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperlihatkan daya saing yang kukuh pada peringkat global apabila mencatat kedudukan =549 dalam QS World University Rankings (WUR) 2027. UiTM berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 36% teratas daripada 1,504 universiti yang disenaraikan di seluruh dunia, sekali gus menunjukkan prestasi yang konsisten serta pengiktirafannya dalam kalangan institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia. Pada peringkat nasional, UiTM kekal tersenarai dalam kelompok 10 universiti terbaik Malaysia bagi beberapa indikator termasuk Reputasi Akademik, Jaringan Penyelidikan Antarabangsa dan Reputasi Majikan.
UiTM terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa (IRN), sekali gus mengekalkannya sebagai indikator terbaik UiTM untuk tahun keempat berturut-turut. Dengan skor 79, UiTM merekodkan peningkatan yang ketara pada peringkat global bagi indikator ini apabila melonjak sehingga 53 anak tangga, daripada kedudukan ke-458 kepada ke-405 dunia. Pencapaian ini mencerminkan pengukuhan jaringan kolaborasi penyelidikan antarabangsa, peluasan kerjasama strategik global serta peningkatan keterlihatan universiti di persada antarabangsa.
UiTM juga menunjukkan momentum positif dalam indikator Reputasi Akademik apabila meningkat 14 anak tangga daripada kedudukan ke-267 kepada ke-253 dunia, membuktikan pengiktirafan yang semakin kukuh pada peringkat global. Selain itu, prestasi kelestarian UiTM terus mencatatkan peningkatan dengan skor 59.6, yang menandakan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa agenda berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merentasi seluruh ekosistem universiti.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib berkata, pencapaian ini mencerminkan daya tahan serta kemajuan berterusan UiTM dalam landskap pendidikan tinggi global yang semakin kompetitif. Beliau turut menegaskan bahawa universiti kekal komited untuk melahirkan graduan bumiputera profesional yang holistik, berdaya saing global serta berteraskan integriti dan nilai murni.
