
ALOR GAJAH, 27 Mei 2026 – Kelab Sukarelawan Zakat (SUZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah dengan kerjasama Islamic Philanthropy and Social Finance (IPSF) serta Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan telah menganjurkan Program Larian Amal dan Sentuhan Kasih Darul Aitam 2026 pada 16 Mei 2026. Program tersebut melibatkan seramai 116 orang mahasiswa dan 15 orang anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Darul Aitam Bukit Pegoh, Pernu, Melaka. Program ini bertujuan mengumpul dana bagi menyokong pembangunan fizikal dan pendidikan anak-anak yatim, di samping memupuk gaya hidup sihat, keprihatinan sosial, semangat kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa.
Program dipimpin oleh Ketua Projek, Saudari Dalili Nurdini Shahrul Akmal, dengan bimbingan Penasihat Program, Puan Sarah Dina Mohd Adnan dan Puan Maymunah Ismail. Aktiviti larian amal dimulakan dengan sesi pemanasan badan sebelum para peserta dilepaskan pada jam 9.00 pagi oleh Ketua IPSF UiTM Cawangan Melaka, Profesor Madya Dr. Mohd Faizal P. Rameli. Para peserta menempuh laluan sejauh 5 kilometer yang merangkumi kawasan sekitar UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah. Sepanjang larian, peserta melalui beberapa bangunan utama kampus, antaranya Kompleks Pentadbiran & Pembelajaran (KPP2), Unit Sukan, Padang Kawad, Kompleks Pentadbiran & Pembelajaran (KPP3) dan Kolej Kediaman sebelum kembali menamatkan larian di Dataran Al-Hikmah. Laluan tersebut memberi pengalaman larian yang menarik kepada para peserta di samping memperkenalkan persekitaran kampus kepada anak-anak Darul Aitam. Pemenang tempat pertama larian Amal bagi kategori lelaki dimenangi oleh Muhamad Nazimi dengan catatan masa 10 minit 19 saat. Seorang peserta dari Darul Aitam, Adik Muhammad, turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat ketiga. Bagi kategori perempuan, Nur Farahaiyah Aqilah Zulkifli muncul sebagai pemenang pertama dengan catatan masa 16 minit 29 saat. Selepas tamat larian, majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Faizal P. Rameli, selaku Ketua IPSF UiTM Cawangan Melaka.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan ceramah bertajuk “Kesedaran Kepentingan Pendidikan dalam Kalangan Remaja” oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Dr. Ahmad Rosli Mohd Nor. Ceramah tersebut menekankan kepentingan ilmu, perancangan pendidikan, hala tuju kerjaya, motivasi diri, adab dan pembentukan sahsiah. Program turut diisi dengan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) melalui Modul Pengenalan dan Modul Pembinaan Pasukan. Peserta dari kalangan anak-anak yatim Darul Aitam terlibat dalam aktiviti pengucapan awam, penetapan matlamat dan penghasilan papan visi atau vision board. Aktiviti ini membantu meningkatkan keberanian, keyakinan diri serta kebolehan peserta merancang masa hadapan. Modul Pembinaan Pasukan pula memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerjasama dan penyelesaian masalah. Anak-anak Darul Aitam menunjukkan penglibatan aktif serta memberikan kerjasama yang baik sepanjang program.
Penganjuran program ini mendukung SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat. Secara keseluruhannya, program ini berjaya menyemai nilai kesukarelawanan dan keprihatinan sosial serta memperkukuh pembangunan sahsiah mahasiswa dan anak-anak yatim. SUZA UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah komited untuk meneruskan program berimpak komuniti yang lebih interaktif, inklusif dan mampan pada masa hadapan.
