Kembara Hari Matematik Antarabangsa UiTM FSKM Semarak Minat Komuniti pada Matematik

SHAH ALAM, 16 Mei 2026 – Pusat Pengajian Sains Matematik (PPSM), Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM Shah Alam, dengan kerjasama Math Club UiTM Shah Alam, Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM, serta Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah berjaya menganjurkan program Kembara Hari Matematik Antarabangsa di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam. Berkonsepkan “Teroka Bandar Mathropolis”, program ini berjaya menghimpunkan seramai 339 peserta daripada komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan mewarna, kuiz matematik, dinding interaktif, pameran inovasi, serta pameran permainan interaktif oleh pelajar FSKM.

Program jelajah ini merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti Hari Matematik Antarabangsa UiTM (HMA UiTM 2026). Melangkah ke tahun ketujuh penganjurannya, HMA UiTM 2026 terlebih dahulu telah dirasmikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Norjansalika Janom pada 14 Mac 2026 menerusi platform media sosial rasmi FSKM. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pengisian berimpak tinggi telah dilaksanakan bagi memupuk minat masyarakat terhadap bidang sains matematik.

Antara acara utama yang mencuri tumpuan ialah Pertandingan Inovasi Matematik & Perintis Antarabangsa (IMPi 2026). Pertandingan ini menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan penyertaan seramai 111 orang peserta dari dalam dan luar negara, termasuk United Kingdom, Maghribi, dan Indonesia, yang melibatkan pelbagai peringkat pendidikan bermula daripada sekolah rendah sehingga institusi pengajian tinggi. Selain itu, penganjuran Sesi Webinar Antarabangsa bertajuk “Di Mana Sempadan Matematik?” yang disampaikan oleh Profesor Dr. Marjono dari Universitas Brawijaya, Indonesia, turut berjaya menarik kehadiran seramai 548 peserta sekali gus memperkukuh kolaborasi akademik antarabangsa di peringkat Nusantara.

Bagi memastikan agenda pendidikan matematik yang inklusif tercapai, Program Komuniti: MATHABLE turut dilaksanakan pada 13 Mei 2026 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur. Dalam perkembangan sama, keupayaan intelek para pelajar turut diuji menerusi Pertandingan Olimpiad Matematik UiTM 2026 yang menyaksikan persaingan sengit antara 115 peserta daripada peringkat sekolah rendah dan pengajian tinggi.

Rangkaian program HMA UiTM 2026 diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hussain Ismail, Pengarah Jabatan Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN) selaku Wakil Naib Canselor UiTM. Kehadiran beliau melambangkan sokongan berterusan pihak universiti terhadap kelestarian pendidikan STEM di Malaysia. Majlis penutup berkenaan diserikan dengan tayangan montaj aktiviti sepanjang program berlangsung serta upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang Olimpiad Matematik. Penganjuran HMA UiTM 2026 ini membuktikan komitmen jitu FSKM UiTM dalam memperkasakan pendidikan matematik melalui pendekatan yang inklusif, kreatif, dan mesra komuniti.

Penulis : Dr Amirah Mohamad Sahar.  Penyunting : Suzana Zambri