
SERI ISKANDAR, 9 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus memperkukuh reputasinya sebagai lubuk penyelidik berimpak tinggi apabila calon PhD program Rekabentuk dan Alam Bina (CFAP992), Ts. Br. Mohd Dhiya Hafreez Bin Kamil, berjaya merangkul anugerah tertinggi dalam dua pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang berprestij.
Beliau yang menjalankan penyelidikan di Kampus Seri Iskandar telah mempertaruhkan inovasi digital bertajuk Kontrak+: Digital Performance Monitoring for SME Contractors. Projek berteraskan penyelesaian industri ini dibangunkan di bawah bimbingan dan penyeliaan pakar akademik UiTM, Ts. Dr. Mohd Najib Abd Rashid dan Ts. Dr. Mohamed Rizal Mohamed.

Rentetan kejayaan luar biasa inovasi Kontrak+ sepanjang bulan Mei 2026 adalah seperti berikut:
-
14 Mei 2026 (The 15th International Invention, Innovation & Design Competition – INDES 2026): Menang Pingat Emas (Gold Award), Anugerah Best of the Best (Emerging Innovator), serta anugerah utama pertandingan iaitu Diamond Award.
-
20 Mei 2026 (Digital Research and Innovation International Conference – DRIIC 2026): Menerusi penganjuran oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Perak, projek ini sekali lagi merangkul Best of the Best Award bagi kategori Industry and Entrepreneurship Advancement.
Kontrak+ merupakan sebuah aplikasi papan pemuka (dashboard) digital berasaskan mudah alih dan storan awan (cloud) yang direka khas untuk membantu kontraktor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memantau kewangan, produktiviti tenaga kerja, serta kemajuan projek secara waktu nyata (real-time).
Inovasi ini berjaya menyelesaikan jurang amalan konvensional industri pembinaan—yang selama ini bergantung kepada nota manual dan hamparan data (spreadsheet) berasingan sehingga melambatkan proses membuat keputusan—dengan menyepadukan data kritikal ke dalam satu platform pelaporan yang mudah, dinamik, mesra pengguna, dan mampu milik.
Bagi melindungi hak berekreasi dan memastikan kelangsungan komersial di pasaran global, proses kerja inovasi ini telah didaftarkan secara rasmi dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah tajuk “Kontrak+ Innovation Development Workflow Framework”.
Hala tuju Kontrak+ kini difokuskan kepada fasa ujian rintis (pilot deployment) menerusi keselarasan strategik bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB Malaysia) serta jalinan kerjasama dengan syarikat industri, Dasacon Sdn. Bhd., bagi mengesahkan kebolehgunaan sistem di tapak pembinaan yang sebenar.
Kejayaan komersial dan pengiktirafan berganda ini mencerminkan bagaimana idea penyelidikan pascasiswazah di UiTM Cawangan Perak mampu diterjemahkan menjadi penyelesaian realiti industri yang praktikal, sekali gus memacu kemajuan sektor pembinaan negara selaras dengan aspirasi penarafan universiti global.
