UiTM Terengganu dan Yayasan MR. D.I.Y., Semarakkan Literasi STEM Komuniti di Bukit Besi

BUKIT BESI, 13 MEI 2026 – Dalam usaha menyahut cabaran melahirkan generasi celik teknologi dan sedia masa hadapan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi telah menganjurkan Program Literasi STEM Komuniti bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besi, hari ini.

Program berimpak tinggi ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Yayasan MR. D.I.Y. yang komited dalam menyokong agenda pendidikan negara. Melalui kerjasama ini, sebanyak 400 unit STEM Kit telah disumbangkan bagi merangsang minat murid sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Kehadiran elemen teknologi moden seperti pameran pencetakan 3D (3D Printing) dan eksplorasi sains menggunakan mikroskop berjaya menarik perhatian ratusan pelajar yang hadir. Menerusi aktiviti berasaskan pendekatan “hands-on” ini, para pelajar berpeluang meneroka eksperimen sains secara interaktif, sekali gus mengikis persepsi awal bahawa subjek STEM adalah sukar untuk dikuasai.

Bagi membina ekosistem sokongan yang holistik, program ini turut menekankan peranan ibu bapa sebagai pendorong utama kejayaan anak-anak. Satu slot ceramah keibubapaan khas telah disampaikan oleh Kaunselor UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi bagi memberikan panduan pengasuhan yang efektif dalam mendepani cabaran era digital.

Selain agenda pendidikan, aspek kesejahteraan penduduk setempat turut diberi perhatian menerusi kaunter Pemeriksaan Kesihatan Asas percuma yang dikendalikan oleh Unit Kesihatan UiTM Kampus Bukit Besi, merangkumi saringan tekanan darah dan tahap gula dalam darah.

Satu kelainan dalam edisi kali ini ialah penerapan elemen kelestarian alam sekitar menerusi beberapa booth pameran kesedaran, antaranya:

  • Kesedaran Kompos: Demonstrasi praktikal menukarkan sisa dapur menjadi baja organik.

  • Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu: Pendedahan mengenai kepentingan melindungi khazanah marin negara.

  • Geng Plastik Ija (GPI): Kempen kesedaran mengenai bahaya penggunaan plastik sekali guna terhadap ekosistem.

Penganjuran program ini menjadi bukti nyata komitmen utuh UiTM dalam memastikan kepakaran menara gading dapat dialirkan secara inklusif kepada komuniti luar bandar. Inisiatif ini diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi, malah mempunyai kesedaran sosial yang tinggi terhadap kelestarian alam sekitar.