
PUNCAK ALAM, 14 MEI 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor menerusi Sekretariat Rukun Negara (SRN) telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Majlis Pelancaran Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) 2026 bertempat di Dewan Seri Alam, Hotel UiTM Kampus Puncak Alam, hari ini.
Majlis pelancaran berskala nasional ini telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang. Kehadiran beliau disambut oleh Timbalan Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni & Keusahawanan (iCARE) UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr. Mohd Hafiz Hanafiah, yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar bagi mewakili Naib Canselor UiTM.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid; barisan kepimpinan Kementerian Perpaduan Negara; Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN); pegawai-pegawai kanan universiti, serta lebih 200 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi sekitar Selangor.


Program JBRN 2026 yang bakal dilaksanakan di 15 lokasi di seluruh negara merupakan satu inisiatif signifikan dalam memperkukuh semangat perpaduan, patriotisme, dan jati diri dalam kalangan generasi muda. Selain meningkatkan literasi kefahaman prinsip Rukun Negara, program ini bertujuan menggalakkan penghayatan nilai-nilai murni tersebut dalam mendepani cabaran global dan pengaruh media sosial semasa.
Sebanyak empat kampus UiTM iaitu UiTM Cawangan Selangor, Perlis, Kedah, dan Kelantan telah dipilih sebagai lokasi penganjuran program berbentuk dua hari satu malam ini. Pelaksanaan inisiatif ini dijangka menjadi medium terbaik dalam membentuk belia yang berdaya saing, bertanggungjawab, serta mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki sahsiah terpuji, integriti tinggi, dan semangat patriotisme yang utuh selaras dengan aspirasi UiTM untuk membentuk generasi pemimpin masa hadapan.
Pihak pengurusan UiTM Cawangan Selangor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara, JPNIN, serta JPNIN Negeri Selangor atas kepercayaan yang diberikan, di samping mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa SRN UiTM Cawangan Selangor atas komitmen menjayakan agenda perpaduan nasional ini.
