UiTM dan Majlis Sukan Pahang Jalin Kerjasama Strategik, Perkasa Sains Sukan Menjelang SUKMA 2026

KUANTAN, 6 Mei 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Majlis Sukan Pahang (MSP) terus memperkukuh sinergi dalam pembangunan sukan prestasi tinggi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Sri Manja Boutique Hotel, pada 15 APRIL 2026

Majlis pemeteraian tersebut telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Ts. Dr. Azhan Hashim @ Ismail yang mewakili Naib Canselor UiTM, bersama Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar. Kolaborasi ini merupakan simbol komitmen jitu kedua-dua pihak dalam memperkasa persediaan atlet Negeri Pahang menjelang temasya SUKMA XXII Selangor 2026.

Kerjasama strategik ini memberi tumpuan khusus kepada pemindahan kepakaran dalam bidang sains sukan yang komprehensif, merangkumi aspek psikologi sukan, pemakanan atlet, pemulihan kecederaan, fisiologi senaman, serta analisis prestasi secara saintifik. Langkah ini dijangka mampu memperkukuh tahap kesiapsiagaan atlet melalui pendekatan berasaskan data dan sokongan akademik terkini.

Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah ini ialah YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin, Chef de Mission (CDM) Kontinjen SUKMA Pahang, serta Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM, Prof. Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin.

Melalui kolaborasi ini, UiTM dan MSP merancang pelbagai pengisian program termasuk sesi konsultasi prestasi, seminar sains sukan, penyelidikan kolaboratif, serta penempatan latihan industri bagi pelajar UiTM. Pendekatan ini selari dengan usaha memperkukuh ekosistem sukan negeri agar lebih sistematik, profesional, dan berdaya saing di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Menurut Prof. Ts. Dr. Azhan, kerjasama ini bukan sekadar perkongsian teknikal, malah menjadi platform penting bagi universiti menyumbang kepakaran penyelidikan demi kecemerlangan sukan tanah air. MSP juga optimis bahawa penggunaan ilmu sains sukan yang mampan akan menjadi pemangkin kepada pencapaian pingat yang lebih bermakna buat negeri Pahang.

Pemeteraian MoU ini membuktikan kesungguhan UiTM dalam menyokong aspirasi negara melahirkan atlet berprestasi tinggi yang seimbang dari sudut fizikal dan intelek, selaras dengan matlamat strategik universiti untuk menerajui pembangunan bakat yang berimpak tinggi.