UIiTM Pahang Jadi Hub Pemerkasaan Pembimbing Rakan Sebaya Peringkat Negeri

JENGKA, 29 April 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka menjadi tuan rumah bagi penganjuran Simposium Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Peringkat Negeri Pahang (Tahap Sulung) 2025 yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam.

Program impak tinggi ini berjaya menghimpunkan seramai 100 orang pelajar PRS daripada sekolah menengah kebangsaan seluruh negeri Pahang, dengan bimbingan dan sokongan penuh daripada 30 mahasiswa UiTM yang bertindak sebagai fasilitator.

Simposium ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) serta agensi strategik universiti termasuk Unit Psikologi & Kaunseling UiTM Cawangan Pahang, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Mat Kilau, Jawatankuasa Perwakilan Kompleks Tok Gajah, dan Badan Peer Kaunselor (PEERS).

Majlis perasmian simposium telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Pahang, Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid JPN Pahang, Encik Mustaza bin Mukri, serta Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Tuan Haji Azmi bin Abdul Rashid.

Penganjuran simposium ini bertujuan memperkasa peranan PRS sebagai agen sokongan rakan sebaya di peringkat sekolah melalui pendekatan pembangunan sahsiah, kepimpinan, serta kesejahteraan emosi.

Melalui pengisian interaktif, para peserta didedahkan dengan kemahiran komunikasi berkesan, teknik pengurusan emosi, serta kemahiran asas menangani tekanan dan cabaran sosial semasa demi melahirkan generasi muda yang berdaya tahan.

Selain melatih pelajar sekolah, program ini turut memberi ruang kepada mahasiswa UiTM mengaplikasikan kemahiran kepimpinan dan komunikasi dalam situasi sebenar, sekali gus berfungsi sebagai suri teladan (role model) yang positif.

Pelaksanaan simposium ini turut menterjemahkan komitmen padu kedua-dua pihak dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ia merangkumi agenda SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) menerusi penekanan terhadap kepentingan kesihatan mental, SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui kaedah pembelajaran tidak formal yang kritis, serta SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Berwibawa) melalui penerapan peranan PRS dalam membantu pengurusan konflik sekolah secara berhemah.

Secara keseluruhannya, jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, jabatan pendidikan, dan sekolah ini berjaya mencapai objektif utama dalam melahirkan PRS yang berkemahiran, berempati, serta mampu memacu perubahan positif dalam komuniti masing-masing.