
SONGKHLA, THAILAND, 13 MEI 2026 – Dalam usaha memacu agenda pengantarabangsaan dan kelestarian ilmu, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) bersama Akademi Pengajian Bahasa (APB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka telah berjaya melaksanakan Program Lawatan Kerjasama Antarabangsa: Perkongsian Intelektual dan Khidmat Komuniti bertempat di Songkhla, Thailand, baru-baru ini.
Program dua hari yang berlangsung pada 7 hingga 8 Mei itu menyaksikan pelaksanaan dua pengisian utama iaitu pembangunan sudut bacaan (Reading Corner) komuniti di Sekolah Sangkhom Islami Wittaya, serta lawatan jalinan akademik di Fakulti Seni Liberal, Prince of Songkla University (PSU).
Melalui inisiatif khidmat komuniti di Sekolah Sangkhom Islami Wittaya, delegasi PTAR UiTM Cawangan Melaka yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Cik Hazlin Ibrahim Khan bersama Pembantu Perpustakaan Tertinggi, Puan Sariah Che’ Man, telah menyerahkan sumbangan bahan bacaan pelbagai bidang kepada pihak sekolah. Usaha ini bertujuan untuk memperluas akses bahan ilmu berkualiti serta memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.


Pelaksanaan misi murni ini merupakan hasil kolaborasi strategik rentas bahagian melibatkan PTAR UiTM Cawangan Melaka, APB UiTM Cawangan Melaka, serta persatuan pelajar Youth Empowerment Society Club (YES).
Sementara itu, delegasi akademik UiTM Cawangan Melaka yang diketuai oleh Pensyarah Kanan APB, Puan Zainab Hj Mohd Zain, telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama Dekan Fakulti Seni Liberal PSU, Dr. Panida Sukseemuang. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Hubungan Antarabangsa, Komunikasi dan Perkhidmatan Akademik PSU, Mrs. Chutima Swangvaree, serta barisan pengurusan kanan fakulti.
Sesi tersebut menjadi medan pertukaran ilmu dan perkongsian amalan terbaik khususnya dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Inggeris. Kedua-dua institusi turut menerokai potensi kerjasama akademik, mobiliti pelajar, dan penyelidikan bersama pada masa hadapan. Delegasi UiTM juga berpeluang meninjau fasiliti Self-Access Learning Centre di PSU bagi meneliti pendekatan ruang pembelajaran kendiri yang kondusif.
Komitmen utuh yang ditunjukkan oleh PTAR dan APB UiTM Cawangan Melaka ini mencerminkan peranan aktif universiti dalam membina ekosistem global yang berpengetahuan, selain memenuhi indikator prestasi utama (KPI) universiti untuk terus relevan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
