
SUNGKAI, 2 MEI 2026 – Persatuan Pelajar Estate Management Society (EMAS) dari Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah (Kepujian), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah berjaya melaksanakan Rimba Outreach Program bertempat di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, baru-baru ini.
Program kesukarelawanan melibatkan penyertaan aktif para pelajar, pensyarah, serta mendapat kerjasama penuh daripada pihak pengurusan PKHL. Inisiatif ini memfokuskan kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dan pemantapan kebajikan hidupan liar di Malaysia.
Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai kepentingan pemeliharaan spesies hidupan liar yang kian terancam, di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial (CSR) serta memperkukuh semangat kerja berpasukan.

Menurut Penasihat Program, Sr Syahmimi Ayuni Ramli, program ini berfungsi sebagai platform pembelajaran di luar bilik kuliah yang memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai imbangan ekosistem.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang tenaga, malah membuka ruang kepada mereka untuk memperoleh pengalaman bermakna yang dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar. Kita mahu melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi mempunyai empati yang tinggi terhadap hidupan liar,” katanya.
Antara pengisian utama sepanjang program termasuklah sesi taklimat konservasi oleh pakar hidupan liar PKHL, aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan pusat konservasi, serta sesi interaktif mengenai pengurusan habitat. Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada pihak PKHL Sungkai.
Walaupun dijalankan dengan skala yang sederhana dan anggaran perbelanjaan yang minimum, keberkesanan program ini membuktikan bahawa inisiatif kesukarelawanan mahasiswa mampu memberi impak signifikan terhadap kelestarian alam sekitar dan mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan agensi komuniti.
Secara keseluruhannya, Rimba Outreach Program ini merupakan manifestasi sokongan UiTM terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) khususnya dalam memelihara ekosistem darat dan hidupan liar untuk generasi masa hadapan.
