Program Jelajah CEO@Faculty Bersama FGV Holdings Berhad Perkasa Persediaan Kerjaya Mahasiswa UiTM Melaka

ALOR GAJAH, 4 Mei 2026 – Dalam usaha merapatkan jurang antara kecemerlangan akademik dan realiti industri, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka telah menganjurkan program Jelajah CEO@Faculty bersama syarikat perladangan global, FGV Holdings Berhad (FGV) bertempat di Dewan Taming Sari, Kampus Alor Gajah, pada 27 April 2026.

Bertemakan “Industry Perspective: Opportunities and Challenges for New Workforce”, program ini merupakan anjuran bersama Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri (PJI) UiTM Melaka, serta Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Shah Alam.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Kerajaan (GIC), Profesor Dr. Muhammad Hussain Ismail. Program ini berjaya menghimpunkan seramai 200 pelajar terpilih dari sembilan fakulti merangkumi tiga kampus iaitu Kampus Alor Gajah, Kampus Bandaraya Melaka dan Kampus Jasin.

Kemuncak program adalah sesi ceramah CEO@Faculty yang disampaikan oleh Pengarah Kumpulan Oils & Fats Division FGV, Encik Zulkifli Othman. Sebagai alumni UiTM, beliau berkongsi perspektif mendalam mengenai landskap industri semasa serta persediaan mental yang diperlukan oleh tenaga kerja baharu. Sesi tersebut diteruskan dengan slot Coffee Talk yang bersifat interaktif, memberi peluang kepada mahasiswa berdialog secara langsung bersama tokoh korporat tersebut.

Selain itu, aspek kemahiran insaniah turut ditekankan melalui perkongsian tips kerjaya oleh Ketua Group Industrial Relations (IR) FGV, Encik Wan Nong Khairol. Beliau menggariskan kepentingan kriteria bukan akademik sebagai nilai tambah utama yang dicari oleh majikan masa kini.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan graduan, sesi sebelah petang diisi dengan aktiviti mock interview dan resume clinic. Seramai 12 panel pakar daripada FGV terlibat dalam memberikan bimbingan, pemurnian Curriculum Vitae (CV) serta penilaian simulasi temu duga bagi meningkatkan keyakinan diri mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Dekan Akademi Pengajian Bahasa, Profesor Ts. Dr. Janudin Sardi; Timbalan Rektor PJI UiTM Melaka, Dr. Mohd Halim Mahphoth; serta Timbalan Rektor HEA UiTM Melaka, Prof. Madya Dr. Mohammad Nor Afandi Ibrahim.

Inisiatif strategik ini merupakan manifestasi komitmen UiTM dalam menyokong agenda kebolehpasaran graduan. Ia selaras dengan aspirasi UiTM 2030 untuk melahirkan profesional Bumiputera yang kompeten, berdaya saing, dan bersedia mendepani cabaran industri di peringkat global.