
PUNCAK ALAM, 19 Mei – Lebih 500 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) membanjiri program UCS x Sparkup Career Fair 2026 yang menampilkan penglibatan lebih 25 pemain industri terkemuka, baru-baru ini.
Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Sparkup Sdn. Bhd. bersama UCS menerusi Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni, dan Keusahawanan (iCARE) serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan antara universiti dan industri, selain menyediakan platform buat mahasiswa meneroka peluang kerjaya, latihan industri, serta membina jaringan profesional bersama bakal majikan.
Selain pameran reruai kerjaya, program turut menyajikan sesi forum yang membariskan panelis hebat seperti Encik Joseph Chin (Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Bersama Sparkup Sdn. Bhd.), Cik Adryana Hamid (Watsons Malaysia), dan Cik Nurneesa Akmal (Graduan Malaysia) yang juga merupakan alumni UiTM.

Perkongsian impak daripada para panelis tentang realiti dan keperluan semasa dunia pekerjaan pasca-pandemik berjaya memberi pendedahan berguna kepada pelajar sebagai persediaan bergraduasi.
Langkah proaktif ini dilihat selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan yang holistik dan kompetitif, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat).
Penganjuran karnival kerjaya ini turut diserikan dengan sesi libat urus dan perbincangan strategik yang dipengerusikan oleh Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman.
Sesi berkenaan menghimpunkan barisan pengurusan kampus, dekan, dan wakil fakulti bersama pengurusan tertinggi industri termasuk daripada Genting Malaysia Berhad, Sunway Multicare Pharmacy, dan A&W Malaysia.
Fokus perbincangan terarah kepada unjuran kebolehpasaran graduan, penyediaan penempatan latihan industri, serta potensi kerjasama dalam pembangunan bakat tersusun demi memastikan graduan UiTM kekal relevan dengan kehendak pasaran global masa kini.
