
BANDA ACEH, INDONESIA, 10 MEI 2026 – Dalam usaha memacu pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pemerkasaan masyarakat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang bersama Universitas Syiah Kuala (USK) dan Koperasi Produksi Fish Jelly Aceh, telah berjaya melaksanakan program Community Development International Inbound (CDII-E).
Program yang bertajuk “Inovasi Teknologi Guna Tepat: Memproses Sisa Sisik Ikan Menjadi Ekstrak Kalsium untuk Nutrisi Tanaman” ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Enhancing Quality Education for International University Impacts and Recognition (EQUITY) yang disokong penuh oleh Lembaga Pengelola Dana Pendidikan (LPDP), Indonesia.
Inisiatif hijau ini digerakkan bagi menangani lambakan sisa hasil pemprosesan perikanan, khususnya sisik dan lebihan ikan daripada aktiviti pengeluaran koperasi tempatan yang sebelum ini tidak dimanfaatkan secara optimum. Melalui pendekatan teknologi guna tepat dan prinsip ekonomi kitaran (circular economy), sisa tersebut berjaya diproses menjadi ekstrak kalsium untuk nutrisi tanaman serta baja organik mesra alam yang mempunyai nilai tambah ekonomi tinggi.


Rakan strategik antarabangsa daripada UiTM Cawangan Pulau Pinang diwakili oleh pakar dari Fakulti Kejuruteraan Kimia iaitu Dr. Muhammad Zahiruddin bin Ramli dan Prof. Dr. Abdul Hadi, bersama seorang pelajar, Fuad Ainuddin Bin Ismail Shah.
Program ini turut menjadi medium experiential learning dan pembelajaran kolaboratif rentas disiplin serta rentas negara bagi para pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM bersama mahasiswa USK daripada Program Studi Teknologi Hasil Pertanian dan Pendidikan Dokter. Penglibatan aktif ini melatih generasi muda mengaplikasikan sains gunaan secara langsung demi pembangunan masyarakat yang mampan.
Sepanjang program, ahli koperasi dan komuniti setempat diberikan latihan intensif berhubung teknik pemprosesan sisa, pengurusan sisa secara sistematik, serta strategi peningkatan nilai komersial produk pasaran tempatan. Perkongsian ini membuka peluang kepada koperasi untuk membina unit perniagaan baharu berasaskan kelestarian alam.
Secara strategik, impak jangka panjang projek ini menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), khususnya SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab).
Sinergi antara institusi pengajian tinggi, agensi antarabangsa, koperasi, dan sokongan kerajaan melalui LPDP terbukti mampu menghadirkan penyelesaian inovatif berasaskan potensi lokal. Kejayaan program ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan UiTM dan USK dalam pengantarabangsaan khidmat masyarakat, malah menjadi bukti nyata sumbangan bermakna akademi kepada kelestarian global.
