
MUKAH, 8 MEI 2026 – Seramai 45 orang mahasiswa semester dua program Diploma Pengajian Perbankan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah, telah berjaya menganjurkan Program Gotong-Royong Pantai Kala Dana sempena Kempen Kesedaran Tanggungjawab Sosial, baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Pantai Kala Dana—yang juga merupakan Tapak Pesta Kaul Mukah—ini bertujuan menanam sikap cintakan alam sekitar, di samping meningkatkan kesedaran komuniti setempat tentang kepentingan menjaga kebersihan pesisir pantai demi kelestarian alam semula jadi.
Menurut Ketua Projek, Debbera Maria Anak Tangkun, inisiatif ini bukan sekadar aktiviti pembersihan fizikal, malah berfungsi sebagai medium pendidikan sivik kepada masyarakat mengenai impak pencemaran.
“Isu kebersihan pantai memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak seharusnya bersandar kepada pihak berkuasa semata-mata. Program seperti ini mampu memupuk sikap prihatin serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu pencemaran alam sekitar,” tegasnya.
Sepanjang program, para peserta komited menjalankan aktiviti kutipan sisa pepejal termasuk sisa plastik di sekitar pesisir pantai dengan pengurusan sisa yang teratur. Bagi meluaskan impak program, edaran poster berkaitan pemeliharaan alam sekitar turut dilakukan kepada para pengunjung pantai sebagai usaha menyebarkan kesedaran awam.
Program ini turut mendapat sokongan dan bimbingan penuh daripada pensyarah pengiring, Encik Azlan Yusof Punding. Beliau menyifatkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan sebegini sebagai satu platform terbaik untuk memperkukuh pembelajaran di luar bilik kuliah.
“Aktiviti kesukarelawanan dan pemuliharaan alam sekitar seperti ini mampu melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap isu semasa, sekali gus membentuk sahsiah diri yang positif serta memupuk semangat kepimpinan yang tinggi dalam diri mahasiswa,” ujar beliau.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan modal insan yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah prihatin terhadap tanggungjawab sosial serta kelestarian alam sekitar selaras dengan matlamat global yang mampan.
