Inovasi Makanan Halal: Kepakaran Akademik UiTM Diiktiraf di Pentas FHA 2026

SINGAPURA, 12 Mei 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh ketampakan di peringkat antarabangsa apabila pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Firdaus Abd Hanan, dijemput sebagai penceramah di Food & Hospitality Asia 2026 (FHA 2026) di Singapore EXPO, pada 23 April 2026.

Beliau yang bertugas di Pusat Pengajian Pengurusan Seni Kulinari dan Gastronomi telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Beyond Certification: Consumer Trust and Cultural Barriers in Halal Food Innovation” dalam sesi Sustainability Summit.

Sesi tersebut memberi tumpuan kepada isu kepercayaan pengguna, penerimaan budaya, serta cabaran inovasi makanan halal dalam konteks pembangunan masa hadapan. Pengiktirafan ini sekali gus mencerminkan kepakaran akademik UiTM yang relevan dengan kehendak industri global.

FHA 2026 merupakan antara pameran perdagangan makanan dan hospitaliti terbesar di rantau ini, menghimpunkan lebih 2,750 pempamer dan 80,000 pengunjung industri dari seluruh dunia.

Selain memenuhi jemputan sebagai penceramah, Firdaus turut membawa seramai 14 orang pelajar daripada Baker’s Club dan Puncak Alam Competition Team (PACT), bersama pensyarah pengiring, Nik Jasmira Jamaluddin.

Menurut Firdaus, pendedahan kepada platform mega seperti FHA 2026 amat kritikal dalam membina kompetensi profesional dan pemikiran kritikal pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Penglibatan ini bukan sahaja memberi nilai tambah dari segi pengetahuan teknikal, malah menjadi pemangkin kepada pelajar untuk lebih aktif dalam pertandingan antarabangsa serta memahami standard industri global,” katanya.

Kehadiran delegasi FPHP UiTM ke platform ini membuktikan komitmen universiti dalam memastikan kurikulum dan penyelidikan sentiah dinamik, selari dengan usaha melahirkan graduan bumiputera yang berdaya saing di peringkat global.