Fakulti Perakaunan UiTM Perkukuh Kerjasama Strategik Bersama JANM Demi Kelestarian Ekonomi Negara

PUNCAK ALAM, 13 APRIL – Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pendidikan perakaunan negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), hari ini.

Kolaborasi ini merupakan langkah proaktif dalam menyelaraskan kepakaran akademik dengan keperluan sektor awam, khususnya dalam mendepani cabaran tadbir urus kewangan moden. Majlis tersebut menyaksikan MoU ditandatangani oleh Akauntan Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Zainaini Jusoh, manakala UiTM diwakili oleh Dekan Fakulti Perakaunan, YBhg. Prof. Dr. Norli Ali.

Kerjasama ini dirangka khusus untuk menyokong Teras Strategik 1 Pelan Strategik JANM 2026–2030 serta Matlamat Strategik 5 Pelan Strategik Institut Perakaunan Negara (IPN) 2026–2030. Sinergi ini bakal membuka ruang luas bagi program pembangunan profesionalisme, perkongsian data penyelidikan, dan pemerkasaan modal insan yang kalis masa hadapan.

Seiring dengan pemeteraian tersebut, YBhg. Dato’ Zainaini Jusoh turut menyampaikan Syarahan Perdana Profesor Adjung bertajuk “Perakaunan Sektor Awam: Siaga Cabaran, Kalis Hadapan.” Beliau menegaskan bahawa profesion perakaunan kini perlu lebih dinamik dalam mendepani isu kemampanan dan transformasi digital bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

Sesi diskusi ilmu turut diperkasakan dengan kehadiran Profesor Adjung Fakulti Perakaunan, YBrs. Encik Mohamad Faisal Haji Abdul Malik, Rakan Kongsi Faisal Malik & Co. Beliau menyentuh mengenai kepentingan kesedaran diri (self-conscious) dalam kalangan mahasiswa untuk memahami geopolitik global dan mengekalkan kecairan ekonomi negara (economic liquidity).

“Pelajar perlu memperluas pembacaan melangkaui silibus dan memahami isu semasa dunia. Kecairan ekonomi adalah nadi yang menyokong perusahaan kecil dan sederhana (SME); tanpa aliran tunai yang kukuh, sesebuah entiti atau negara akan sukar bertahan walaupun memiliki aset yang besar,” jelas beliau dalam sesi soal jawab yang dihadiri oleh lebih 150 staf dan pelajar.

Kejayaan majlis ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja unggul secara akademik, malah mempunyai literasi global dan kemahiran tambahan (upskilling) yang relevan.

Fakulti Perakaunan UiTM merakamkan penghargaan tertinggi kepada Institut Perakaunan Negara (IPN) dan JANM atas dedikasi dalam memacu kecemerlangan profesionalisme perakaunan negara menerusi jalinan strategik yang inklusif dan mampan.