
SHAH ALAM, 8 MEI 2026 – Pasukan AR.FC memamerkan aksi cemerlang apabila muncul sebagai juara dalam Kejohanan Bola Sepak 3 Penjuru yang berlangsung di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.
Kejohanan sulung anjuran Kelab Penolong Pendaftar Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini telah menghimpunkan tiga pasukan utama iaitu AR.FC UiTM, SIRIM, dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Penganjuran edisi pertama ini berlangsung dalam suasana yang penuh dengan semangat kesukanan di samping memperkukuh ukhwah antara institusi dan agensi terlibat.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Pendaftar UiTM merangkap Penasihat Kelab Penolong Pendaftar UiTM, Tuan Haji Muhamad Nizam Nordin. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan harapan agar kejohanan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.


“Program seperti ini merupakan platform terbaik dalam memperkukuhkan budaya kerja berpasukan, menggalakkan gaya hidup sihat, serta merapatkan hubungan profesional antara institusi dan agensi luar,” ujar beliau.
Menurut Pengarah Program, Ts. Syed Harun S. Mohd, kejohanan sukan ini juga merupakan langkah awal dan medan pemanasan badan sebagai persiapan ke arah penganjuran Kejohanan Piala Pendaftar UiTM 2026. Kejohanan tersebut dijangka akan berlangsung dalam skala yang lebih besar serta kompetitif dengan penglibatan pelbagai pasukan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Secara keseluruhannya, kejohanan ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai skim Penolong Pendaftar (N), warga kampus cawangan UiTM, serta jawatankuasa penganjur. Komitmen yang ditunjukkan jelas mencerminkan semangat kebersamaan, solidariti, dan kesungguhan warga pentadbiran UiTM dalam menjayakan program berteraskan sukan, kebajikan, serta pembangunan jaringan profesional.
