STEM Xplosion: UiTM Cawangan Perlis dan MYSA Bawa Teknologi Drone ke Pulau Tuba

PULAU TUBA, 12 APRILPostgraduate Society (PGSUiTMPs) dengan kerjasama Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, berjaya menterjemah agenda kelestarian komuniti menerusi penganjuran program STEM Xplosion: Where Ideas Collide bertempat di SMK Langkawi Pulau Tuba, baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 April 2026 itu bertujuan menyuntik minat pelajar luar bandar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melalui pendekatan eksplorasi interaktif dan teknologi tinggi.

Keunikan program ini terletak pada sinergi rentas fakulti yang melibatkan dua modul utama:

  1. Eksplorasi Teknologi & Geomatik: Dikendalikan oleh Fakulti Alam Bina (FAB), modul ini mendedahkan pelajar kepada aplikasi UAV Drone bagi pemetaan, Penentuan Arah Kiblat, dan teknik Jejak Koordinat.

  2. Cabaran Inovasi Fizik & Logik: Dikendalikan oleh Fakulti Sains Gunaan (FSG) serta Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) menerusi slot Parachute Challenge, Bridge Challenge, dan Paper Plane Challenge.

Rektor UiTM Cawangan Perlis menyifatkan inisiatif ini sebagai manifestasi peranan universiti dalam merapatkan jurang digital dan teknologi di peringkat akar umbi. Program ini turut diperkasakan melalui kolaborasi strategik bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta Kelab Sukan Elektronik Arau.

“Sinergi antara institusi akademik dan agensi nasional seperti MYSA adalah kunci dalam menghasilkan impak sosial yang mampan. Selain pemindahan ilmu, program ini secara tidak langsung menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa pascasiswazah kita sebagai pemimpin masa hadapan,” menurut kenyataan penganjur.

Penganjuran STEM Xplosion ini bukan sahaja memberikan pengalaman berharga kepada para peserta, malah memperkukuh hubungan antara menara gading dan komuniti Pulau Tuba dalam usaha melahirkan generasi muda yang kompetitif dan berinovasi tinggi.

Kejayaan program ini membuktikan komitmen UiTM Cawangan Perlis dalam mendokong aspirasi negara untuk memperkasakan pendidikan STEM secara inklusif melampaui sempadan geografi.