
ARAU, 25 Mac 2026 – Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyantuni 50 keluarga asnaf dan pengguna jalan raya menerusi program Sinar Kasih Ramadan 2026 yang berlangsung di Caltex Guar Nangka, pada 12 Mac 2026
Membawa aspirasi “Satu Sumbangan, Seribu Harapan”, program ini memfokuskan kepada dua pengisian utama iaitu Bakul Sinar Aidilfitri dan agihan Kit Iftar. Sebanyak 50 keluarga asnaf dari Kampung Perik, Kampung Baru Guar Nangka, Kampung Kubang Perun, dan Kampung Gial Nyatuh menerima sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan beban menjelang sambutan Aidilfitri.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Wan Izhan Nawawi, mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis. Menurut beliau, pemilihan lokasi di stesen minyak Caltex merupakan simbolik kepada kolaborasi strategik antara universiti dan sektor korporat dalam memperkasa tanggungjawab sosial komuniti.


Program ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjalankan aktiviti advokasi keselamatan jalan raya serta program penukaran topi keledar secara percuma kepada orang awam.
Menerusi kutipan dana yang dijalankan selama 10 hari, sebanyak RM4,905.00 berjaya dikumpulkan dan disalurkan sepenuhnya dalam bentuk wang tunai serta bekalan makanan kepada penerima sasaran di sekitar Masjid As Sobirin dan Masjid Al-Rashid.
Penasihat Program, Dr. Nasulhah Kasim berkata, inisiatif ini bukan sekadar bantuan fizikal, malah merupakan manifestasi keprihatinan warga kampus dalam memastikan golongan asnaf sentiasa diraikan.
UiTM Cawangan Perlis merakamkan penghargaan kepada rakan strategik dan penaja termasuk Pen Petroleum Sdn Bhd, Chevron Malaysia Berhad, Teras Perkasa Enterprise, Perlis Marine Engineering, IQ Ilham, dan KBS Incorporated Sdn Bhd atas sokongan menjayakan misi kemanusiaan ini.
