
KOTA SAMARAHAN, 14 April 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus memperkukuh peranan sebagai institusi yang prihatin terhadap pembangunan ummah menerusi penganjuran Majlis Tadarus al-Quran dan Berbuka Puasa bersama Saudara Kita Samarahan, pada 24 Februrari 2026.
Program anjuran Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) UiTM Sarawak dengan kerjasama strategik Jawatankuasa Masjid Darul Taqwa, Kampung Muara Tuang ini telah berjaya menghimpunkan seramai 70 orang saudara baharu dari sekitar Kota Samarahan dalam suasana penuh ukhuwah dan keberkatan Ramadan.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah. Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar program tahunan, malah merupakan manifestasi komitmen universiti dalam membimbing dan memperkasakan saudara baharu menerusi pengukuhan kefahaman Islam serta penghayatan al-Quran.


“UiTM Sarawak sentiasa responsif terhadap keperluan komuniti setempat. Perjalanan iman yang dilalui oleh saudara kita amat besar nilainya, justeru sokongan berterusan dan bimbingan berhemah daripada institusi pendidikan seperti UiTM amat penting bagi memastikan mereka terus istiqamah dalam mendalami ajaran Islam,” ujar beliau.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mendapat bimbingan intensif daripada Ketua UHEI, Ustaz Haji Muhammad Ilyas Muhammad Saleh dan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Ustazah Norsinah Tompeng, bersama barisan guru Kelas al-Quran Samarahan. Sesi bimbingan difokuskan kepada asas bacaan yang tepat serta aplikasi maknawi al-Quran dalam membentuk jati diri Muslim yang unggul.
Selain pengisian rohani, program ini juga menjadi platform pengukuhan hubungan strategik antara pihak universiti dan kepimpinan masyarakat setempat. Kerjasama erat ini turut mendapat sokongan padu daripada Pengerusi Masjid Darul Taqwa, Ustaz Haji Mohamad Salleh Haji Hamden dan Imam Masjid, En. Azyzy Ahmad.
Melalui penganjuran ini, UiTM Cawangan Sarawak membuktikan keupayaannya dalam menterjemah agenda dakwah kepada impak sosial yang mampan, sekali gus memperkukuh hubungan antara menara gading dan komuniti demi kesejahteraan ummah yang berpanjangan.
