Mahasiswa UiTM Kuala Pilah Terajui Agenda Kesukarelawanan Menerusi BioCare 2.0

KUALA PILAH, 13 MAC – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah terus memperkasa agenda kesukarelawanan mahasiswa melalui penganjuran program BioCare 2.0: Sharing Ramadan yang menyantuni warga Pusat Jagaan Anak Yatim Kausar, Seremban, baru-baru ini.

Bertemakan “One Heart, One Community”, program anjuran Persatuan Ijazah Sarjana Muda Biologi (BIOSMARTEAM) dengan kerjasama strategik Yakult Malaysia ini merupakan penganjuran kali ketiga, sekali gus membuktikan konsistensi universiti dalam menerajui aktiviti berimpak sosial.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (menjalankan fungsi Rektor), Profesor Madya Ts. Dr. Noorlis Ahmad. Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan platform terbaik dalam melahirkan graduan holistik yang memiliki nilai empati tinggi serta peka terhadap tanggungjawab sosial.

“Program seperti BioCare 2.0 bukan sekadar aktiviti bermusim, malah ia adalah proses pembentukan jati diri mahasiswa untuk menjadi agen perubahan yang prihatin. Penglibatan aktif mereka bersama komuniti luar membuktikan bahawa warga UiTM sentiasa bersedia menyumbang bakti melampaui pagar akademik,” ujar beliau.

Antara pengisian utama program termasuklah ceramah kesihatan oleh pihak Yakult, sesi interaksi interaktif bersama 17 orang anak-anak yatim, serta aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan pusat jagaan. Elemen kelestarian ini turut dilaksanakan bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih bersih dan sihat.

Menambah nilai impak kepada program, sumbangan duit raya dan bantuan bekalan makanan turut disampaikan kepada anak-anak yatim bagi menceriakan persiapan mereka menjelang sambutan Ramadan.

Lebih membanggakan, usaha murni sukarelawan mahasiswa ini turut mendapat perhatian meluas menerusi liputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), sekali gus memberikan visibility positif kepada komitmen UiTM dalam agenda pembangunan masyarakat.

Pengarah Program, Muhammad Akmal Fitri Rozaidin berkata, penglibatan 24 orang mahasiswa dalam jawatankuasa kali ini bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat, di samping mengasah kemahiran insaniah para pelajar dalam mengendalikan program berskala besar.

Kejayaan BioCare 2.0 ini memperlihatkan sinergi utuh antara universiti dan sektor korporat dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak dipinggirkan, selaras dengan aspirasi UiTM untuk menjadi universiti tersohor dunia yang inklusif dan mampan.