“Hand To Heal”: Seramik UiTM Perak Terajui Terapi Seni di Pusat Koreksional Chenderiang

CHENDERIANG, 15 APRIL – Jabatan Seramik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar melakar sejarah dalam pemerkasaan kebajikan sosial menerusi penganjuran program Creative Clay Art Therapy 2025: “Hand To Heal” bertempat di Pusat Koreksional Chenderiang, pada 8 April 2026.

Program dengan kerjasama strategik Jabatan Penjara Malaysia ini merupakan inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan kepakaran seni seramik dengan elemen terapi psikologi sebagai kaedah pemulihan alternatif bagi pembangunan sahsiah residen.

Ketua Projek menyatakan bahawa program ini dirangka untuk melangkaui batas pendidikan seni konvensional dengan mengintegrasikan modul Art Therapy. Pendekatan ini berfungsi sebagai medium ekspresi emosi yang berkesan bagi menyokong kesejahteraan mental, meningkatkan keyakinan diri, serta membentuk semula jati diri residen melalui aktiviti kreatif yang berstruktur.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada residen dan pegawai Pusat Koreksional Chenderiang, bersama barisan pensyarah serta mahasiswa program Seramik UiTM Cawangan Perak telah menjayakan sesi hands-on ini. Para peserta didedahkan kepada kitaran lengkap penghasilan seramik, bermula daripada pemilihan bahan dan teknik pembentukan sehingga kepada proses sains pembakaran yang kompleks.

Selain aspek teknikal, elemen sains di sebalik transformasi bahan melalui proses haba terkawal turut diperkenalkan bagi memberikan pemahaman mendalam tentang kaitan antara teknologi bahan dan seni visual.

Penganjuran Creative Clay Art Therapy 2025 ini membuktikan peranan proaktif UiTM dalam menerajui program inklusif yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek kesejahteraan sosial dan pendidikan sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat.

Kejayaan program “Hand To Heal” ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM Cawangan Perak dalam menterjemah kepakaran akademik kepada impak sosial yang nyata, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti sebagai agen perubahan yang prihatin terhadap proses integrasi sosial residen institusi koreksional di Malaysia.

Penulis : Haslinda Md.Nazri