UiTM Perak Pupuk Minat STEM Murid Sekolah Rendah Menerusi Little Scientist Camp 2026

TAPAH, 5 Mac 2026 – Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, terus memperkukuh agenda pemerkasaan pendidikan STEM melalui penganjuran program Little Scientist Camp 2026 pada 8 Januari 2026. Program ini berjaya menghimpunkan seramai 75 murid sekolah rendah dari sekitar daerah Tapah untuk merasai pengalaman pembelajaran sains di menara gading.

Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid berusia 8 hingga 12 tahun. Selain mendekatkan komuniti sekolah dengan suasana universiti, ia juga berfungsi sebagai platform untuk menyemai minat terhadap ilmu sains melalui pendekatan yang santai dan interaktif.

Program sehari yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang ini telah dikendalikan oleh barisan pensyarah dan staf Unit Makmal Sains FSG, dengan sokongan padu 30 fasilitator daripada pelajar Diploma Sains. Penglibatan mahasiswa ini bukan sahaja melancarkan aktiviti, malah memperkasakan semangat kesukarelawanan akademik dan khidmat komuniti di peringkat universiti.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Ahmad Zoolhelmi Bin Alias, Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak, Kampus Tapah. Turut hadir memberikan sokongan ialah Dr. Fathiah Abdullah, Ketua Pusat Pengajian FSG, serta Dr. Noor Fadhilah Muhamad Sahapini, Koordinator Program AS120.

Menerusi pendekatan experiential learning (pembelajaran melalui pengalaman), para peserta telah didedahkan dengan pelbagai eksperimen amali dalam bidang Fizik, Kimia, dan Biologi yang dijalankan di dalam makmal sains universiti. Modul yang dirangka khusus ini membolehkan murid memahami konsep sains yang kompleks secara praktikal, sekali gus membina keyakinan diri serta kemahiran berfikir secara kritis dan saintifik sejak usia muda.

Penganjuran Little Scientist Camp 2026 ini mencerminkan komitmen jitu UiTM Cawangan Perak dalam memperluas jalinan strategik bersama komuniti setempat. Usaha ini secara tidak langsung menyokong aspirasi nasional untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan melalui penguasaan ilmu sains yang mantap.