UiTM Pahang Perkasa Pendidikan Inklusif Menerusi Transformasi Sukan Adaptif di Jengka

Jengka, 27 Februari 2026 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, telah berjaya menganjurkan program bertajuk “Transformasi Pendidikan Melalui Sukan Inklusif: Membangun Minda dan Keupayaan Luar Biasa” pada 3 Januari 2026. Program yang berlangsung di Dewan Besar Felda Siantan ini merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menyokong agenda pendidikan inklusif serta pemerkasaan pembangunan komuniti setempat.

Inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama strategik antara Pejabat Jaringan Industri, Kerajaan, Komuniti, dan Alumni (ICAN) UiTM Cawangan Pahang, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Jalinan Siantan Jengka 19, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran. Berteraskan konsep University Social Responsibility (USR), program ini menggabungkan elemen pembelajaran dan khidmat masyarakat dengan menjadikan sukan sebagai medium utama transformasi pendidikan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Azli bin Abdullah, selaku wakil Penyelaras DUN Jengka, dengan iringan Prof. Madya Dr. Nazirah Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Pahang. Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan sokongan padu terhadap usaha integrasi sosial antara institusi pengajian tinggi dan komuniti luar bandar.

Seramai 50 pelatih OKU daripada PPDK Maran dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Daerah Maran, termasuk wakil dari PPDK Seri Teratai Felda Jengka 21, PPDK Jalinan Siantan Jengka 19, dan PPDK Maran Sejahtera, telah mengambil bahagian sebagai peserta utama. Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti sukan adaptif dan interaktif seperti goalball, bola tampar duduk, dodgeball, dan boccia. Selain sukan, modul pembelajaran pengalaman turut diterapkan melalui latihan asas urutan sukan secara teori dan praktikal yang dikendalikan khusus untuk pelajar OKU.

Kelancaran program ini turut digerakkan oleh 40 mahasiswa FSSR UiTM Cawangan Pahang yang bertindak sebagai fasilitator dan sukarelawan. Penglibatan mahasiswa ini bukan sahaja bertujuan membantu peserta, malah berfungsi sebagai platform pembangunan nilai kemanusiaan dan kemahiran insaniah dalam memahami keperluan komuniti inklusif. Secara keseluruhannya, penganjuran ini membuktikan bahawa sukan merupakan medium pendidikan efektif yang mampu membina kecerdasan minda serta menggalakkan interaksi sosial positif antara graduan dan individu kelainan upaya.