
25 Mac 2026, SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) diiktiraf dalam QS World University Rankings (WUR) by Subject 2026, dengan 20 subjek tersenarai merentasi lima bidang utama. Pada tahun ini, sebanyak 1,908 institusi di seluruh dunia dinilai, termasuk 161 penyertaan baharu berbanding tahun sebelumnya.
UiTM mencatatkan pencapaian membanggakan apabila tersenarai dalam kesemua lima bidang utama, berikutan kemasukan Sains Tulen pada kedudukan 451-500, melengkapkan pengiktirafan universiti dalam semua disiplin utama. Beberapa bidang lain turut mencatatkan kenaikan kedudukan, termasuk Seni dan Kemanusiaan yang melonjak ke tangga 344 daripada julat 401–450, Sains Sosial dan Pengurusan ke =362, dan Kejuruteraan dan Teknologi ke =383, manakala Sains Hayat dan Perubatan mengekalkan kedudukan 501–550. Peningkatan ini mencerminkan keupayaan UiTM dalam mengekalkan pengajaran berkualiti, penyelidikan berimpak serta relevan dengan keperluan industri.
Secara keseluruhan, tujuh subjek mencatatkan peningkatan kedudukan, iaitu Seni dan Reka bentuk (101-150), Farmasi dan Farmakologi (201-250), Kejuruteraan Kimia (351-400), Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan (351-400), Perubatan (451-500), Kimia (451-500) dan Sains Bahan (351-400), sekali gus menggambarkan peningkatan pengiktirafan terhadap kualiti akademik, kebolehpasaran graduan dan impak penyelidikan UiTM. Lebih membanggakan, tahun ini turut menyaksikan kemasukan dua subjek baharu dalam penarafan global, iaitu Sains Sekitaran (501–550) dan Sains Biologi (651–700).
UiTM juga menunjukkan prestasi yang kukuh dan konsisten dalam beberapa subjek utama. Kejuruteraan Petroleum kekal dalam kelompok 150 terbaik dunia selama enam tahun berturut-turut sejak 2021, sekali gus membuktikan kekuatan penyelidikan dan inovasi universiti dalam bidang tersebut. Subjek lain yang mengekalkan kedudukan termasuk Pengajian Perniagaan dan Pengurusan, Ekonomi dan Ekonometrik, Pendidikan, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Sains Komputer dan Sistem Maklumat, serta Matematik.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@ Sahibuddin menyifatkan pengiktirafan ini sebagai pencapaian yang amat bermakna, bertepatan dengan sambutan Syawal yang melambangkan kesyukuran, perpaduan dan semangat baharu. Beliau berkata, kejayaan ini mencerminkan dedikasi berterusan warga UiTM dalam memacu kecemerlangan akademik. Seiring dengan pelaksanaan UiTM2030, UiTM komited untuk terus memperkukuh kedudukan globalnya serta membangunkan generasi profesional bumiputera yang berdaya saing.
