UiTM Dengkil Semarakkan Ramadan Melalui Program Gotong-Royong Bubur Lambuk Bersama Komuniti Dengkil

DENGKIL, 12 Mac 2026 – Semangat kebersamaan dan nilai keprihatinan masyarakat terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Bubur Lambuk Bersama Komuniti Dengkil. Program yang berlangsung di Surau Al-Iman, Dengkil ini menyaksikan penglibatan aktif pelajar Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Dengkil dalam menyantuni masyarakat setempat sempena keberkatan bulan Ramadan pada 6 Mac 2026.

Program ini merupakan manifestasi kerjasama strategik antara Surau Al-Iman Dengkil, Akademi Kenegaraan Malaysia, Pusat Asasi UiTM Dengkil, Persatuan Alumni Asasi UiTM Dengkil, serta Majlis Perbandaran Sepang. Inisiatif kolaboratif ini bertujuan merapatkan jurang antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan yang berimpak tinggi.

Seramai 52 orang mahasiswa Pusat Asasi UiTM Dengkil bersama sukarelawan komuniti dan barisan alumni telah berganding bahu menyediakan 500 bekas bubur lambuk. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 300 bekas diagihkan kepada warga kampus Pusat Asasi UiTM Dengkil, manakala selebihnya diedarkan kepada penduduk sekitar daerah Dengkil sebagai juadah berbuka puasa.

Selain aktiviti penyediaan makanan, para pelajar turut berpeluang menyertai majlis berbuka puasa bersama warga komuniti di Surau Al-Iman. Suasana ini bukan sahaja menyemarakkan syiar Ramadan, malah menjadi platform penting dalam membentuk jati diri mahasiswa melalui interaksi sosial dan pengukuhan ukhuwah bersama masyarakat di luar bilik kuliah.

Penganjuran program ini juga selari dengan matlamat global iaitu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan): Memupuk masyarakat yang inklusif, selamat, dan harmoni menerusi kerjasama komuniti dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat): Memperkukuh perkongsian pintar antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan masyarakat setempat.

UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan sebagai agenda tahunan bagi menyemai nilai kesukarelawanan dan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai nadi pembangunan komuniti yang mampan.