Sentuhan Kreatif Pelajar Grafik UiTM Perak Ceriakan Persekitaran Taska OOO La La Nur Intan

SERI ISKANDAR, 6 Mac 2026 – Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital bersama Persatuan Pelajar Grafik (DEGRAPH), Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, telah berjaya menamatkan Projek Komuniti Penghasilan Mural di Taska OOO La La Nur Intan, Seri Iskandar. Program kesukarelawanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Januari lalu ini merupakan manifestasi jalinan strategik antara universiti dan komuniti setempat.

Projek ini diketuai oleh Encik Ashraf bin Abdul Rahaman selaku Pengarah Projek bersama Puan Wan Nurul Izzati binti Wan Muhammad Zulkifli sebagai Timbalan Pengarah Projek. Seramai 20 orang pelajar Jabatan Grafik & Media Digital yang diketuai oleh saudara Noor Hadif bin Noor Syahrin telah menggembleng tenaga bagi memastikan visi artistik projek ini berjaya direalisasikan.

Inisiatif ini bertujuan memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar dalam mengendalikan projek mural berskala besar, sekali gus mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi yang prihatin terhadap keperluan masyarakat. Melalui penglibatan ini, para pelajar berpeluang mengaplikasikan kemahiran seni reka mereka di luar bilik kuliah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif, ceria, dan merangsang minda buat kanak-kanak di institusi pendidikan awal tersebut.

Proses penghasilan mural dilaksanakan melalui fasa kerja yang intensif, bermula dengan sesi taklimat serta proses melukis imej pada dinding. Kerja-kerja pewarnaan diteruskan sepenuhnya pada hari kedua dan ketiga dengan memberikan tumpuan kepada visual yang mesra kanak-kanak, termasuk elemen flora seperti bunga raya serta ilustrasi aktiviti riadah yang penuh warna.

Meskipun berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu, komitmen tinggi para pelajar memastikan projek ini disiapkan dengan kualiti estetik yang tinggi mengikut jadual yang ditetapkan. Kejayaan ini bukan sahaja menambah nilai identiti visual kepada Taska OOO La La Nur Intan, malah mencerminkan matlamat UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang sedar akan peranan seni sebagai pemangkin pembangunan komuniti yang harmoni.