Program Math Outreach FSKM UiTM Semai Minat Matematik Murid Sekolah Rendah

KLANG, 19 Februari 2026 — Program Math Outreach anjuran Pejabat Penyelidikan dan Jaringan Industri, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya dianjurkan buat kali ketiga pada 26 Januari 2026 dan buat julung kalinya melibatkan murid sekolah rendah. Program ini telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Klang dengan penyertaan aktif 114 pelajar tahun 6 dan guru sekolah. Program tersebut melibatkan seramai 14 orang pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Matematik, FSKM diketuai oleh Pengarah Program, Dr. Harliza Mohd Hanif, dengan sokongan Penasihat Program, Dr. Nur Hazwani Aqilah Abdul Wahid, serta barisan fasilitator yang terdiri daripada para pensyarah FSKM.

Program ini merangkumi tiga komponen utama iaitu Program MesraMath sebagai aktiviti pengenalan dan ice breaking, seterusnya sesi perkongsian bertajuk “Jom Sayang Matematik: Dari Kelas ke Dunia Nyata!” yang memberi pendedahan kepada aplikasi matematik dalam kehidupan seharian dan kerjaya, serta Program SukaMath: Kira Sambil Gembira yang menekankan pembelajaran berasaskan permainan dan aktiviti berkumpulan. Modul yang dibangunkan merupakan inisiatif pasukan Math Outreach, FSKM. Kesemua aktiviti merupakan hasil idea pasukan Math Outreach, FSKM sendiri dan merupakan aktiviti hands on bersama pelajar.

Penganjuran Math Outreach di peringkat sekolah rendah ini bertujuan menyemai minat awal murid terhadap matematik melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan
kontekstual. Program ini turut menyokong usaha membina asas pembelajaran yang kukuh serta mengurangkan kebimbangan murid terhadap subjek matematik. Pelaksanaan keseluruhan program ini telah memberi impak positif apabila murid menunjukkan peningkatan minat, keyakinan diri dan penglibatan aktif sepanjang aktiviti dijalankan. Pendekatan pembelajaran santai dan interaktif membantu murid melihat matematik sebagai subjek yang relevan dan mudah difahami, di samping memupuk kemahiran komunikasi dan Kerjasama dalam kalangan murid.

Secara keseluruhan, penganjuran Math Outreach ini mencerminkan komitmen berterusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan berimpak tinggi. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan. Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur.

Penulis: Dr Harliza Mohd Hanif (Editor: FSKM News Team)