
JAKARTA, 27 Mac 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi kolaborasi strategik antara Cawangan Sarawak dan Cawangan Perak telah berjaya melaksanakan Program Memasyarakatkan Ilmu dan Memartabatkan Zakat bertempat di Universitas Indonesia (UI), Jakarta pada 27 Januari 2026. Inisiatif sosial berimpak tinggi ini dirangka bagi memperkasa komuniti Nusantara melalui tiga teras utama: pemerkasaan pendidikan, kelestarian alam sekitar, dan penambahbaikan taraf hidup.
Program ini menyaksikan pertemuan penting antara kepimpinan kedua-dua universiti bagi membincangkan kolaborasi strategik ke arah pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang bakal memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara Malaysia dan Indonesia.


Antara pengisian utama program adalah penganjuran Kuliah Lestari bertemakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Sesi perkongsian ilmu ini melibatkan penyertaan aktif pensyarah serta pelajar daripada UiTM Cawangan Sarawak, UiTM Cawangan Perak, dan Universitas Indonesia. Di bawah inisiatif Knowledge Transfer Programme (KTP), sesi ini bertujuan menyebar luas kepakaran akademik dalam menangani isu kelestarian global secara bersama.
Sebagai manifestasi tanggungjawab sosial universiti (University Social Responsibility – USR), UiTM turut menyerahkan bantuan zakat berjumlah RM2,500.00 kepada pelajar Universitas Indonesia yang memerlukan. Sumbangan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam menjaga kebajikan penuntut ilmu merentasi sempadan geografi, sekali gus memperkukuh ukhuwah antara institusi pendidikan serantau.
Secara keseluruhannya, program ini telah memacu peningkatan jaringan antarabangsa UiTM di peringkat ASEAN melalui pelaksanaan aktiviti berorientasikan ilmu dan tanggungjawab sosial yang mampan. Kejayaan misi ini dijangka akan membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan, khususnya dalam aspek pertukaran penyelidikan, perkongsian kepakaran, serta mobiliti staf akademik dan pentadbiran antara kedua-dua negara.
