
JENGKA, 27 Februari 2026 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, telah berjaya menganjurkan acara larian bertemakan “Master Colour Run” yang berlangsung meriah di sekitar kampus Jengka, pada 10 Januari 2026. Program ini bukan sekadar aktiviti riadah, malah merupakan inisiatif strategik University Social Responsibility (USR) dalam mempromosikan gaya hidup aktif serta kesejahteraan komuniti.
Acara ini telah menarik penyertaan luar biasa seramai 600 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, staf universiti, dan komuniti setempat. Majlis telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said, Penyelaras Dewan Negeri Jengka, bersama Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Pahang.
Keunikan program ini terletak pada pengurusannya yang dikendalikan sepenuhnya oleh 66 pelajar Semester 5, Diploma Pengajian Sukan (SR113). Inisiatif ini menjadi platform praktikal bagi pelajar mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan acara berskala besar, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik dan kompeten.

Selain impak kesihatan, program ini turut mencatatkan pencapaian membanggakan dari sudut penjanaan dan kebajikan termasuk penjanaan kewangansebanyak RM21,000 untuk tabung universiti dan sebanyak RM1 dari setiap penyertaan telah diperuntukkan bagi menyokong Tabung Palestin melalui NGO terpilih untuk misi bantuan kemanusiaan melalui konsep “Berlari Sambil Menyumbang”.
Kejayaan program ini turut diperkasakan melalui tajaan in-kind daripada rakan strategik industri termasuk CelcomDigi SDN BHD, Maxis SDN BHD, dan AFFIN Bank Jengka, yang secara langsung meningkatkan kualiti penganjuran serta penglibatan penjenamaan industri bersama warga kampus.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja dan rakan kerjasama atas komitmen yang diberikan. Melihat kepada impak positif dan sambutan hangat yang diterima, FSSR berharap agar “Master Colour Run” dapat dijadikan acara tahunan rasmi bagi terus memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin perubahan ke arah pembentukan komuniti yang cergas, sejahtera, dan prihatin.
