
SEPANG, 17 Mac 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memacu agenda pemindahan ilmu dan memperkukuh kedudukan sebagai institusi pakar melalui penglibatan strategik dalam Bengkel “Polymer: From Theory to Application” yang diadakan di Auditorium National Metrology Institute of Malaysia (NMIM), Sepang, pada 29 Januari 2026.
Bengkel anjuran Kumpulan Kimia NMIM dengan kerjasama UiTM dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini menjadi platform kritikal dalam menghubungkan teori asas kimia polimer dengan aplikasi praktikal dalam sektor penyelidikan dan industri negara.
Mewakili UiTM dalam siri pembentangan utama, ChM. Dr. Hussein Hanibah dari Pusat Asasi UiTM Dengkil telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Fundamentals and Advances in Polymer Electrolyte Conductivity: Molar & Limiting Molar Perspectives”.
Perkongsian tersebut memberi tumpuan kepada evolusi terkini dalam bidang kekonduksian elektrolit polimer, satu komponen penting dalam pembangunan teknologi hijau dan tenaga masa hadapan. Turut berkongsi kepakaran adalah barisan penyelidik dari UPNM, ChM. Dr. Intan Juliana Shamsudin dan Profesor Madya Dr. Norherdawati Kasim, yang masing-masing mengupas mengenai sintesis biopolimer dan penghasilan membran hijau.
Penglibatan tunggal pakar dari Pusat Asasi UiTM ini bukan sekadar perkongsian akademik, malah mencerminkan kepercayaan agensi teknikal kebangsaan terhadap kredibiliti warga pendidik UiTM. Timbalan Pengarah Kumpulan Kimia NMIM, Puan Haslina Abdul Kadir, menyifatkan kolaborasi ini sebagai langkah penting dalam memperkasa kapasiti penyelidik metrologi di Malaysia.

Lebih signifikan, bengkel ini menyokong mandat Kerajaan melalui Akta 675, khususnya dalam meningkatkan keupayaan pengukuran kimia bagi aplikasi industri plastik, kualiti air, dan sistem pertahanan negara.
Menurut Metrologis Kanan Kumpulan Kimia NMIM, Ts. Dr. Adlan Akram Mohamad Mazuki, penganjuran ini merupakan kesinambungan daripada siri lawatan kerja pada November 2025. Beliau berharap jaringan antara NMIM, UiTM, dan UPNM akan terus diperkukuh melalui Joint Development Project (JDP) dan penyelidikan bersama, Knowledge Transfer Program (KTP) yang memberi manfaat terus kepada industri dan Peluang Latihan Industri dan penempatan pelajar UiTM di makmal berprestij NMIM.
Inisiatif ini sekali gus membuktikan peranan proaktif UiTM dalam menyokong aspirasi negara ke arah kecemerlangan sains, inovasi, dan kelestarian melalui sinergi Triple Helix antara universiti dan agensi kerajaan.
