Inovasi Pelita Solar Lestari: FSKM UiTM Perlis Bawa Cahaya Hijau buat Warga Emas Baitul Hannan

SIMPANG EMPAT, 25 MAC 2026 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, terus memperkasakan agenda kelestarian komuniti menerusi penganjuran Majlis Iftar Perdana: Sentuhan Hati Emas. Program yang berlangsung di Country Road Homestay ini dianjurkan khusus bagi menyantuni warga emas dari Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Baitul Hannan sempena keberkatan bulan Ramadan pada 12 Mac 2026.

Majlis ini merupakan pengisian utama bagi Fasa 2: Mizan Hikmah di bawah program induk Jalinan Ramadan 2026. Ia bermatlamat untuk mengeratkan silaturahim antara warga fakulti, agensi rakan strategik, dan komuniti setempat menerusi integrasi pengisian rohani, kebajikan, serta pemindahan ilmu teknologi hijau.

Hadir menyempurnakan majlis ialah Ybrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri bin Mohd Kassim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA), yang mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis. Beliau turut meluangkan masa menyantuni bonda-bonda Baitul Hannan serta menyampaikan pek ‘Bingkisan Kasih’ dan sumbangan Duit Raya sebagai tanda ingatan tulus daripada warga FSKM.

Satu mercu tanda penting dalam majlis ini adalah pelancaran inovasi Pelita Solar Lestari. Projek teknologi hijau ini bertujuan menyediakan sistem pencahayaan yang lebih selamat dan kos efektif untuk kegunaan pusat jagaan berkenaan. Uniknya, inovasi ini merupakan keberhasilan model ‘Mentor-to-Senior’, di mana barisan Mentor Muda (pelajar Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah) yang telah dilatih pada Fasa 1 kini berperanan berkongsi pengetahuan asas pemasangan pelita tersebut kepada golongan warga emas.

Sebagai menghargai sinergi yang terjalin, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan-rakan kolaborasi strategik yang terdiri daripada Pusat Pengajian Pascasiswazah UiTM Cawangan Perlis, Kolej Komuniti Arau (dan Cawangan Kangar), FAMA Negeri Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, serta Sekolah Agama Al-Islahiyah (Menengah). Pengiktirafan ini mencerminkan keberkesanan model kolaborasi pelbagai pihak dalam memacu impak sosial. Turut diraikan adalah barisan Mentor Muda yang menerima sijil pengiktirafan atas sumbangan mereka sebagai ejen pemindahan ilmu teknologi hijau kepada warga emas sepanjang program berlangsung.

Kejayaan Jalinan Ramadan 2026: Sentuhan Hati Emas ini mencerminkan tekad FSKM UiTM Cawangan Perlis dalam menterjemah aspirasi universiti untuk menghasilkan impak sosial yang mampan. Melalui gabungan elemen inovasi teknikal dan nilai ihsan, UiTM terus komited memartabatkan kesejahteraan komuniti di peringkat akar umbi.