Bah, Jom Sungkai! Siri Jelajah Ramadhan MPP Sabah Perkukuh Sinergi Komuniti

KOTA KINABALU, 16 Mac 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sabah telah menganjurkan Siri Jelajah Ramadan selama tiga hari berturut-turut bermula 10 Mac, melibatkan program agihan nasi lemak dan sumbangan iftar kepada komuniti setempat di beberapa lokasi sekitar negeri ini melibatkan 40 orang sukarelawan yang terdiri dari pemimpin pelajar, staf, jawatankuasa masjid dan komuniti setempat.

Program berkenaan menghimpunkan pelbagai rakan strategik dengan pendekatan berbeza pada setiap hari, sekali gus memperlihatkan kekuatan kolaborasi antara mahasiswa, sektor korporat dan masyarakat.

Pada hari pertama, program dilaksanakan dengan kerjasama Maxim Malaysia menerusi inisiatif “Ramadan in Motion”, yang menampilkan konvoi komuniti bagi menyantuni penduduk setempat. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada sukarelawan dalam kalangan pemimpin pelajar UiTM Cawangan Sabah untuk turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.

Hari kedua pula menyaksikan penglibatan BTC Sdn. Bhd. dan Surayaji Catering yang memberi tumpuan kepada penyediaan serta pengagihan juadah iftar (nasi berlauk dan roti bun) secara lebih meluas. Agihan tersebut melibatkan komuniti akar umbi di Masjid Negeri Sabah, sekali gus memperluaskan capaian bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara itu, hari ketiga menampilkan kerjasama bersama Persatuan Alumni UiTM Sabah dan Campus Bean melalui inisiatif “Kongsi Rezeki Ramadan” menyedia dan mengedarkan juadah Nasi Lemak. Program kemuncak yang berlangsung di sekitar Masjid Kampung Lokub Sabah berjaya menarik penyertaan masyarakat dalam jumlah yang lebih besar.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Siri Jelajah Ramadan:  Bah Jom Sungkai ini berjaya memperlihatkan impak signifikan dari aspek kebajikan sosial serta pengukuhan hubungan strategik antara pelbagai pihak. Program yang bermula dari komuniti Kampung Lokub hingga ke Masjid Negeri Sabah itu turut menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan nilai kebersamaan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta memperluas usaha kebajikan kepada komuniti setempat.

Penulis: Nur Qurratu A’ini Mohammad Safwan

Editor:  Nurul Huda Roslan