
TAPAH, 30 JANUARI 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus memacu agenda kelestarian alam sekitar melalui pelaksanaan Program Mudball 2.0 Plus, sebuah inisiatif berimpak tinggi yang memfokuskan kepada pemulihan kualiti air tasik kampus berasaskan bioteknologi hijau. Program yang diterajui oleh Unit 1 Teknologi Hijau, Rekabentuk, dan Infrastruktur di bawah Jawatankuasa Kampus Hijau ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Program Senibina Landskap serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Manjung. Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen berterusan universiti dalam memelihara ekosistem akuatik secara lestari melalui penggunaan teknologi Effective Microorganism (EM) yang dihasilkan secara mandiri menggunakan bahan kitar semula.
Pelaksanaan program yang berlangsung secara berfasa bermula Disember 2025 ini memperlihatkan pendekatan saintifik yang berstruktur bagi menjamin impak yang boleh diukur. Usaha ini dimulakan dengan Fasa Penilaian yang melibatkan sinergi kepakaran bersama pihak JPS bagi menjalankan pemeriksaan awal kualiti air di lima lokasi tasik sekitar UiTM Cawangan Tapah. Langkah ini bertujuan mengenal pasti zon yang paling kritikal dan sesuai untuk menerima rawatan biologi, sekali gus memastikan keberkesanan intervensi yang bakal dijalankan. Pendekatan berasaskan data ini membuktikan profesionalisme universiti dalam menguruskan aset alam sekitarnya secara sistematik.
Kemuncak program ini menyaksikan mobilasi hampir 100 peserta yang merangkumi mahasiswa, kakitangan universiti, pelajar sekolah, serta wakil agensi kerajaan dalam Fasa Pelaksanaan pada Januari 2026. Sebanyak 1,365 biji EM mudball yang dihasilkan daripada campuran tanah, molases, hampas kelapa, dan larutan EM telah dilepaskan ke dalam tasik terpilih. Sebagai penutup kepada kitaran program, aktiviti pemeriksaan pasca-intervensi telah dilaksanakan pada 30 Januari 2026 bagi menilai perubahan parameter kualiti air selepas dua minggu rawatan. Pemantauan berterusan ini bukan sahaja menilai keberkesanan teknologi hijau yang digunakan, malah berfungsi sebagai penanda aras bagi pemulihan ekosistem kampus pada masa hadapan.
Selain memberi impak langsung kepada pemuliharaan alam sekitar, Program Mudball 2.0 Plus turut berperanan sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman atau living lab kepada para pelajar melalui penglibatan langsung dalam aktiviti teknikal. Inisiatif ini secara langsung menyokong agenda kelestarian universiti serta menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), serta Kelestarian Hidupan di Air (SDG 14). Melalui jaringan kerjasama strategik ini, UiTM berharap agar model pemuliharaan sumber air berasaskan komuniti ini dapat dijadikan rujukan oleh institusi lain dalam memperkukuh sinergi antara menara gading, agensi kerajaan, dan masyarakat setempat.
