
RAUB, 15 Januari 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub terus memperkukuh komitmen khidmat komuniti melalui penganjuran Program Jom Jaga Diri: Sentuhan OK, Sentuhan Tak OK! “Ready ke, Remaja?”. Program ini telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seindah Jasmine, Sekolah Kebangsaan Raub Indah.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM Kampus Raub dalam memberikan pendidikan pencegahan dan meningkatkan kesedaran keselamatan diri dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Selain itu, penganjuran program ini bertujuan memantapkan hubungan strategik antara UiTM dan SK Raub Indah yang merupakan sekolah angkat di bawah seliaan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM).
Program yang dihadiri oleh 197 orang murid ini menampilkan Dr. Bisha Fathamah Uzir, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Timbalan Pengerusi Malaysia Against Pornography (MAP) sebagai penceramah utama. Pengisian modul telah dirangka khusus mengikut tahap perkembangan umur pelajar:
-
Pelajar Tahap 1: Didedahkan dengan konsep pendidikan keselamatan diri, merangkumi pengenalan kepada sentuhan selamat, sentuhan tidak selamat, dan sentuhan tidak pasti.
-
Pelajar Tahap 2: Diberikan kefahaman mendalam mengenai perubahan fizikal, emosi, dan sosial pasca-aqil baligh, diikuti dengan aktiviti interaktif di lima stesen pembelajaran bagi mengukuhkan kefahaman secara santai.
Penyertaan aktif pensyarah daripada Akademi Pengajian Bahasa (APB) dalam program ini turut menyerlahkan peranan warga akademik UiTM dalam menyumbang kepakaran kepada masyarakat setempat.
Pelaksanaan program ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 5 (Kesaksamaan Jantina), dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat). Melalui kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub optimis dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu, malah tinggi sahsiah dan akhlaknya.
