Persatuan QASIRA UiTM Perak Santuni Anak Yatim Darussalam Melalui Program USR Kreatif

IPOH, 9 Februari 2026 – Persatuan QASIRA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah berjaya melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) melalui Program Lawatan QASIHRA. Program ini menyasarkan kesejahteraan komuniti di Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh pada 10 Januari 2026.

Seramai 27 orang mahasiswa telah mengambil bahagian dalam usaha menyantuni anak-anak yatim bagi memupuk nilai empati serta tanggungjawab sosial. Program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada sokongan moral, malah menjadi platform pembelajaran luar bilik darjah bagi mahasiswa memahami realiti kehidupan golongan yang memerlukan perhatian.

Pelbagai aktiviti interaktif telah dirangka bagi membina keyakinan diri dan kemahiran sosial kanak-kanak di rumah tersebut. Antara pengisian utama adalah sesi ice breaking, latihan video interaktif, permainan kerusi muzik, serta aktiviti Sentuhan Kreatif yang melibatkan penghasilan aksesori boleh pakai menggunakan bahan kertas. Aktiviti seni ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan kreativiti dan emosi mereka dalam suasana yang positif.

Selain pengisian aktiviti, Persatuan QASIRA turut menggerakkan usaha kutipan sumbangan yang melibatkan warga UiTM dan penyumbang luar. Hasilnya, sebanyak RM1,133.00 sumbangan kewangan telah berjaya dikumpulkan dan diserahkan secara tunai kepada pihak pengurusan Pertubuhan Darussalam. Penyerahan tersebut turut disertakan dengan barangan keperluan harian dan hadiah sebagai sokongan terhadap kebajikan penghuni.

Program ini telah dilaksanakan di bawah bimbingan Puan Siti Hajar Maizan selaku Penasihat Persatuan QASIRA dan pensyarah Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, manakala Saudara Muhammad Azfar Haziq bertindak sebagai Pengarah Program dengan sokongan Presiden Persatuan, Saudara Farhan Faris bin Kheyrul Azwan.

Penganjuran Program Lawatan QASIHRA ini secara keseluruhannya berjaya memperkukuh imej UiTM sebagai institusi pengajian tinggi yang cakna terhadap komuniti. Usaha ini membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki jiwa sukarelawan yang tinggi terhadap masyarakat setempat.