
KUNMING, CHINA, 11 Februari 2026 – Seramai 18 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah berjaya menamatkan Program Latihan Asia-Pasifik selama 20 hari hasil kolaborasi strategik bersama Southwest Forestry University (SWFU), China. Program yang bermula pada 14 Disember 2025 sehingga 2 Januari 2026 ini merupakan satu langkah proaktif dalam memperkukuh pendedahan global pelajar terhadap bidang sains gunaan dan pengurusan sumber asli.
Program mobiliti luar negara (outbound) ini dirangka bagi memberikan pendedahan komprehensif merangkumi pengurusan sumber hutan, biodiversiti tanah tinggi, serta industri produk hutan bukan kayu melalui gabungan pembelajaran akademik dan latihan lapangan berimpak tinggi. Pengarah Program, Dr. Lee Seng Hua, menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sahaja memenuhi kriteria mobiliti pelajar, malah memperkukuh pelaksanan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Pahang dan SWFU menerusi pemindahan ilmu yang lebih tersusun.
Fasa pertama program di kampus utama SWFU, Kunming, memfokuskan kepada integrasi budaya dan warisan China. Pelajar berpeluang mengikuti bengkel Opera Peking, seni guntingan kertas, ukiran mohor, serta latihan asas Wushu. Selain itu, lawatan akademik ke Muzium Kayu dan Buluh serta perpustakaan bertema teh antarabangsa telah memperluas ufuk pemikiran pelajar mengenai hubung kait antara sumber hutan dan industri kreatif.

Seterusnya, fasa kedua diteruskan di Gaoligong Mountain Tea Expo Park, Tengchong, yang memberi penekanan kepada aspek teknikal industri. Pelajar menjalani sesi amali rantaian nilai industri teh dan kopi yang merangkumi teknik penanaman sehingga proses pembancuhan. Pengalaman ini diperkayakan lagi dengan lawatan ke Gaoligong Mountain Nature Reserve bagi mempelajari pengurusan biodiversiti ekosistem tanah tinggi serta potensi sumber geoterma di kawasan gunung berapi.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Prof. Shi Rui, Timbalan Dekan College of Forestry, SWFU. Sepanjang program berlangsung, kumpulan pelajar ini telah dibimbing oleh Dr. Muhammad Afif bin Yusof dari Fakulti Sains Gunaan, UiTM.
Selain meningkatkan kompetensi teknikal, program ini berjaya mengasah kemahiran insaniah pelajar seperti komunikasi global, kepimpinan, dan pemikiran kritikal. Bagi memastikan impak yang berterusan, para peserta dijadualkan untuk melaksanakan sesi perkongsian ilmu melalui seminar dalaman fakulti dan bengkel mini bagi mendokumentasikan amalan terbaik pengurusan biodiversiti untuk manfaat warga universiti.
Kejayaan program ini mencerminkan komitmen jitu UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang kompeten di peringkat antarabangsa, peka terhadap kelestarian alam sekitar, dan mampu beradaptasi dalam kepelbagaian budaya global.
