Mahasiswa UiTM Shah Alam Santuni Anak Yatim Melalui “Projek KITA: Kindness In The Action”

BANTING, 17 JANUARI 2026 – Seramai 35 orang pelajar daripada Kelas Kokurikulum Khidmat Komuniti (HGD133A) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya melaksanakan inisiatif murni bertemakan “Projek KITA: Kindness In The Action”. Program yang berlangsung di Rumah Anak Yatim & Asnaf Assolihin, Kanchong Darat ini telah menyantuni seramai 50 orang penghuni yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf.

Sepanjang program berlangsung, mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai sukarelawan, malah bertindak sebagai kakak dan abang angkat bagi memberikan sokongan moral serta keceriaan kepada para penghuni menerusi pelbagai aktiviti interaktif. Antara pengisian utama ialah sesi akademik dan pengetahuan umum yang merangkumi kuiz berkaitan konsep Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, dan aspek kerohanian. Aktiviti ini bertujuan menanamkan kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan bagi menjamin masa hadapan yang lebih gemilang.

Selain itu, aspek pembangunan kendiri turut ditekankan melalui ceramah kebersihan diri dan sesi motivasi yang disampaikan oleh barisan kepimpinan pelajar. Anak-anak yatim diberikan tunjuk ajar praktikal mengenai rutin kebersihan harian seperti penjagaan gigi dan cara mencuci tangan yang betul bagi mengelakkan penyakit berjangkit. Dalam masa yang sama, aktiviti fizikal seperti gotong-royong mengecat pintu pagar dan memasak secara bersama (rewang) turut diadakan bagi menceriakan persekitaran rumah tersebut sambil memupuk budaya toleransi dan kerja berpasukan antara mahasiswa dan komuniti.

Menurut Nor Hisyam Husin, Jurulatih Kelas Kokurikulum Khidmat Komuniti, kehadiran mahasiswa UiTM ke rumah tersebut adalah untuk menjalinkan hubungan ikhlas antara universiti dan komuniti, selain mendidik mahasiswa tentang erti memberi dan nilai ihsan. Pengarah Projek, Iman Firdaus, turut menambah bahawa pengalaman ini sangat berguna dalam membentuk peribadi pelajar yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap realiti kehidupan golongan yang kurang bernasib baik.

Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah serta penyerahan sumbangan keperluan asas kepada pihak pengurusan Rumah Assolihin sebagai tanda sokongan kebajikan. Kejayaan “Projek KITA” ini bukan sahaja memenuhi objektif akademik bagi kod kursus HGD133A, malah membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang di dalam bilik kuliah, tetapi juga memiliki kemahiran insaniah dan jiwa kemasyarakatan yang tinggi.