Mahasiswa EPJJ UiTM Perkukuh Agenda Kelestarian Komuniti Melalui Inisiatif Hijau di Masjid Al-Ikhlas Seremban

SEREMBAN, 31 JANUARI 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar menerusi kumpulan pelajar Pendidikan Jarak Jauh (EPJJ) berjaya melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR): Melestarikan Kawasan Masjid di Masjid Al-Ikhlas, Taman Bukit Kepayang, Seremban 2. Inisiatif ini merupakan kolaborasi strategik antara universiti dan Jawatankuasa Masjid Al-Ikhlas dalam usaha menterjemah aspirasi kelestarian alam sekitar ke peringkat akar umbi.

Program ini bermatlamat untuk memperkukuh hubungan antara warga akademik dan komuniti setempat, selain menyuntik kesedaran tentang tanggungjawab bersama dalam memelihara ekosistem di pusat tumpuan ibadah. Fokus utama kelestarian ini melibatkan transformasi landskap melalui penanaman pokok teduhan di sempadan masjid serta penanaman rumput di kawasan lapangan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih hijau dan kondusif.

Majlis perasmian program telah disempurnakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Masjid Al-Ikhlas, Tn. Haji Abd. Rahman Omar, yang menzahirkan penghargaan atas komitmen mahasiswa UiTM dalam menyumbang bakti kepada institusi masjid. Pensyarah Penasihat, Gs. Dr. Hjh. Norainah Abdul Rahman, dalam ucapan balas beliau menegaskan bahawa program ini merupakan medium penting bagi pelajar mengaplikasikan ilmu teoretikal kepada praktikaliti yang memberi impak langsung kepada masyarakat. Majlis turut diserikan dengan gimik penanaman pokok oleh Setiausaha Masjid, Tn. Abd. Halim Jahaya, sebagai simbolik pelancaran zon hijau masjid tersebut.

Dari sudut impak universiti, pelaksanaan program ini secara langsung menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat). Selain meningkatkan imej UiTM sebagai institusi yang menerajui pembangunan kampus hijau, inisiatif ini turut berfungsi sebagai platform pembangunan sahsiah mahasiswa. Penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan ini berjaya memupuk nilai kepimpinan, disiplin, dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Kejayaan Program USR ini membuktikan bahawa peranan universiti melampaui dewan kuliah, di mana masjid kini diangkat sebagai pusat kecemerlangan komuniti yang mengintegrasikan elemen kerohanian, sosial, dan kesedaran alam sekitar. Usaha murni ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa hadapan, sekali gus melahirkan graduan holistik yang peka terhadap isu-isu kelestarian global dan kesejahteraan sosial.