
LANCHANG, 26 Januari 2026 – Seramai 50 orang mahasiswa program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, telah menyertai program Community Service Responsibility (CSR) di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, pada 4 Januari baru-baru ini.
Program anjuran Organization Biodiversity Club (ORBID) ini bertujuan memberi pendedahan secara praktikal kepada pelajar mengenai usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar, sekali gus melahirkan graduan yang peka terhadap isu biodiversiti negara.
Turut hadir memberi sokongan kepada program tersebut ialah penasihat ORBID, Cik Nor Lailatul Wahidah binti Musa dan Cik Nur Thabitah binti Shaikh Nasir.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah diberi bimbingan oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengenai aspek keselamatan dan tatacara pengendalian gajah. Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuklah pembersihan kandang, memandikan gajah, serta penyediaan makanan untuk kumpulan gajah dewasa dan anak gajah.

Sesi tersebut turut diperkayakan dengan perkongsian ilmu daripada para mahut (penjaga gajah) yang berkongsi maklumat mendalam mengenai biologi, tingkah laku, dan cabaran konservasi hidupan liar di Malaysia. Sebagai penutup, para peserta berpeluang menyaksikan sesi pertunjukan gajah yang mempamerkan kebijaksanaan mamalia tersebut.
Penganjuran program CSR ini merupakan langkah proaktif UiTM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 15: Kehidupan di Darat. Melalui pengalaman hands-on ini, mahasiswa dapat menghubungkan teori yang dipelajari di dalam kuliah dengan realiti pengurusan konservasi di lapangan.
Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam membentuk warga universiti yang prihatin terhadap kelestarian alam serta membantu mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar melalui pendidikan dan kesedaran komuniti.
