
PULAU PINANG, 21 Januari 2026 – Dalam usaha memperkasa penguasaan bahasa dan kemahiran kreatif mahasiswa, Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Melaka melalui Kumpulan CGCT LCC111, dengan kerjasama APB UiTM Cawangan Pulau Pinang, telah berjaya menganjurkan webinar bertajuk “Narrative Writing: Crafting Your Narrative Essay” pada 7 Januari 2026.
Program yang dijalankan secara dalam talian menerusi platform Google Meet ini bertujuan memberi pendedahan mendalam mengenai teknik penulisan esei naratif yang berkesan. Bagi menyuntik perspektif global, pihak penganjur telah membawakan penceramah jemputan dari Indonesia, Encik Vincentius Tangguh Atyanto Nugroho daripada Universitas Gadjah Mada (UGM), manakala Puan Nur Fatin Nabila Abd Rahman bertindak sebagai moderator.
Sesi tersebut memfokuskan kepada elemen-elemen kritikal dalam penulisan kreatif, termasuklah pembangunan plot yang tersusun dan dinamik, penggunaan bahasa deskriptif bagi menghidupkan penceritaan, pembentukan watak yang mempunyai kedalaman dan strategi penceritaan bagi menarik minat pembaca.


Gaya penyampaian penceramah yang santai dan interaktif, disulami dengan contoh-contoh praktikal, telah berjaya meningkatkan kefahaman peserta dalam menghasilkan esei naratif Bahasa Inggeris yang berkualiti.
Menurut pihak penganjur, inisiatif ini bukan sahaja membantu pelajar sebagai persediaan rapi bagi Final Assessment kursus LCC111, malah ia merupakan langkah proaktif UiTM dalam memperkasa kemahiran komunikasi dan penulisan dalam kalangan warga universiti. Sesi soal jawab yang diadakan turut memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar dari luar negara, sekali gus mengukuhkan lagi pemahaman mereka.
Penganjuran webinar ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperluas kolaborasi antarabangsa serta memberikan pendedahan global kepada mahasiswa. Usaha ini selaras dengan aspirasi UiTM untuk menjadi sebuah universiti tersohor di dunia (Globally Renowned University), di samping melahirkan graduan yang kompetitif dan berkemahiran tinggi dalam bahasa antarabangsa.
