
JENGKA, 17 JANUARI 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang menerusi persatuan pelajar Organization of Biodiversity (ORBID), Fakulti Sains Gunaan, berjaya menganjurkan program STEM – Biodiversiti: Eco Maze, sebuah inisiatif berimpak tinggi bagi memupuk minat generasi muda terhadap sains dan kelestarian alam sekitar. Program yang berlangsung di SMK Jengka Pusat ini melibatkan mobilasi 30 mahasiswa program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti sebagai mentor kepada 111 pelajar daripada SMK Jengka Pusat dan SMK Jengka Pusat 2.
Inisiatif ‘Eco Maze’ direka khusus untuk merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi praktikal melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (gamification). Dengan bimbingan penasihat program, Cik Nor Lailatul Wahidah Musa dan Cik Nur Thabitah Shaikh Nasir, para peserta didedahkan kepada aktiviti interaktif seperti Biodiversity Explorace, pembinaan rumah burung, serta penghasilan terrarium. Pendekatan kreatif ini bukan sahaja mengasah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan penyelesaian masalah, malah memperkukuh kemahiran saintifik serta semangat kolaborasi dalam kalangan pelajar sekolah.

Program ini merupakan manifestasi komitmen UiTM dalam menyokong agenda pemerkasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) peringkat kebangsaan. Selain bertindak sebagai platform pemindahan ilmu (knowledge transfer), ia turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 15: Hidupan di Darat, dengan menerapkan nilai murni mengenai kepentingan pemeliharaan ekosistem demi kelestarian generasi masa hadapan.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Jengka Pusat, Encik Azlan Turkini. Kehadiran pemimpin sekolah dan komuniti setempat dalam program ini membuktikan keberkesanan sinergi antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam melahirkan modal insan yang peka terhadap isu biodiversiti global.
Melalui penganjuran program seperti ini, UiTM Cawangan Pahang terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pendidikan biodiversiti di wilayah ini. Inisiatif mahasiswa ORBID ini membuktikan bahawa graduan UiTM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki kemahiran kepimpinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam memacu transformasi kesedaran alam sekitar di peringkat akar umbi.
