AURA Legacy Talk: Inspirasi Dekad Gemilang Alumni UiTM Kampus Raub

RAUB, 12 Februari 2026  – Sempena sambutan sedekad penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub, Perpustakaan UiTM Pahang telah menganjurkan program Bicara Alumni: AURA Legacy Talk (Edisi 10 Tahun) pada 7 Januari 2026. Program ilmuan yang berlangsung di Dewan Kuliah DK300 ini turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi perpustakaan, mencatatkan impak luar biasa dengan capaian melebihi 10,000 tontonan digital.

Program ini menampilkan dua tokoh alumni berkaliber UiTM Kampus Raub sebagai panel jemputan: Encik Muhammad Khair Muhammad Noor Hisham, Pengurus Strategi & Pembangunan Perniagaan di Nixoderm, serta Encik Muhammad Iman Norhizam, Peguam Bela & Peguam Cara di firma Adnan Sharida & Associates.

Menerusi sesi perkongsian tersebut, para panelis membincangkan realiti sebenar dunia kerjaya pascapandemik, strategi pembangunan profesionalisme, serta kepentingan integriti dalam mendepani cabaran industri. Intipati utama perbincangan menekankan keupayaan mengurus tekanan sebagai pemangkin kecemerlangan, selain kepentingan berpegang teguh kepada prinsip diri demi mencapai kejayaan jangka panjang.

 

Inisiatif ini bukan sekadar platform perkongsian pengalaman, malah merupakan langkah strategik universiti dalam menyokong agenda global melalui SDG 4 (Pendidikan Berkualiti): Membudayakan ilmu melangkaui bilik kuliah, SDG 8 (Pekerjaan yang Layak & Pertumbuhan Ekonomi): Menyediakan graduan yang kompeten untuk pasaran kerja dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat): Memperkukuh jaringan strategik antara universiti dan alumni.

Program yang dijayakan dengan kerjasama erat Briged Sukarelawan Perpustakaan ini membuktikan peranan perpustakaan sebagai hab kecemerlangan akademik dan sosial. Melalui sinergi antara alumni dan warga kampus, pelajar berpeluang membina jati diri yang lebih holistik dan berdaya saing sebelum melangkah ke alam kerjaya.

UiTM Cawangan Pahang komited untuk meneruskan siri AURA pada masa hadapan bagi memastikan hubungan antara universiti dan alumni terus terpelihara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan negara yang cemerlang.