
Shah Alam, 21 Januari 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan kedudukannya pada peringkat global apabila 10 subjek tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026. Subjek Undang-Undang mencatatkan pencapaian membanggakan dengan berada dalam kedudukan 301-400 dunia, menjadikannya antara hanya lima universiti di Malaysia yang tersenarai dalam subjek tersebut. Pencapaian ini menyerlahkan reputasi kukuh universiti serta meningkatkan pengaruh antarabangsanya dalam pendidikan undang-undang.
Bagi subjek Pengajian Pendidikan, UiTM menunjukkan peningkatan dengan berada pada kedudukan 401-500, sejajar dengan komitmen berterusan terhadap penyelidikan pendidikan serta kecemerlangan pengajaran. Selain pencapaian ini, UiTM turut mempamerkan kekuatannya merentas pelbagai disiplin. Antaranya, subjek Seni dan Kemanusiaan berada dalam kedudukan 601-800, Perniagaan dan Ekonomi, serta Sains Hayat dan Sains Sosial, masing-masing dalam kedudukan 801-1000. Sementara itu, subjek Sains Komputer serta Perubatan dan Kesihatan telah berjaya berada pada kedudukan 1001+, manakala Kejuruteraan dan Sains Fizikal tersenarai dalam kedudukan 1001-1250.
THE World University Rankings by Subject menilai universiti merentasi 11 bidang pengajian berdasarkan 18 indikator prestasi yang dibahagikan kepada lima teras utama: Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri, dan Pandangan Antarabangsa. Berbanding sistem penarafan global lain, THE memberi penekanan lebih besar kepada prestasi dan reputasi penyelidikan, impak sitasi, serta penglibatan industri, sekali gus memberikan penilaian menyeluruh terhadap sumbangan universiti dalam penciptaan dan pemindahan ilmu.
