UiTM Sertai Usaha Pemulihan Mangrove Pasca Ribut Tropika Senyar di Kampung Changkat Keruing

MANJUNG, PERAK, 6 Januari 2026– Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar terus komited menyokong Program Kelestarian Alam Sekitar selaras dengan prinsip-prinsip Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) pada 4 Disember 2025. Penyertaan UiTM dalam program ini menekankan prinsip kedua DASN, iaitu Pemuliharaan Ketahanan dan Kepelbagaian Alam bagi memastikan kelestarian ekosistem negara sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, dua orang kakitangan UiTM telah menyertai Siri Pemulihan Tapak Penanaman Bakau Kg. Changkat Keruing Pasca Ribut Tropika Senyar, susulan kejadian ribut tropika yang melanda pada akhir November 2025. Bencana tersebut mengakibatkan kerosakan signifikan pada kawasan penanaman anak pokok bakau, termasuk tumbangnya pancang, tercabutnya anak pokok, serta runtuhan struktur semula jadi akibat arus deras.

Program pemulihan ini merupakan inisiatif komuniti setempat melalui Pasukan Bakau Komuniti Changkat Keruing dengan kerjasama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA). Usaha ini dijalankan secara berkala bagi memulihkan semula ekosistem mangrove melalui pengukuhan anak pokok bakau yang rosak, membetulkan pancang, serta memastikan kelangsungan pertumbuhan habitat tersebut.

 

Penyertaan kakitangan UiTM dalam program ini memberi peluang kepada warga universiti menyumbang secara langsung kepada pemuliharaan biodiversiti negara. Ia juga memperkukuh hubungan strategik UiTM bersama komuniti luar dan organisasi pemeliharaan alam sekitar.

Ekosistem bakau memainkan peranan penting sebagai benteng semula jadi yang melindungi kawasan pesisir daripada hakisan dan banjir, selain menjadi habitat penting bagi hidupan marin serta burung. Kawasan paya bakau turut menyokong sumber ekonomi tempatan melalui sektor perikanan, ekopelancongan serta pendidikan alam sekitar. Sepanjang program tersebut, peserta turut berpeluang mengutip lokan sebagai salah satu sumber makanan semula jadi di habitat paya bakau.

UiTM Cawangan Perak merakamkan penghargaan terhadap pihak komuniti Changkat Keruing dan KUASA atas inisiatif berterusan dalam memelihara alam sekitar. Penyertaan ini membuktikan komitmen universiti dalam menyokong agenda kelestarian dan pemuliharaan alam untuk kesejahteraan generasi akan datang.