UiTM Kampus Dengkil Anjur Program Komuniti Inovasi STEM di Kolej MARA Seremban

Dengkil, 15 Januari 2026 – Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil dengan kerjasama pelajar Kelab Khidmat Masyarakat telah menganjurkan Program Komuniti Inovasi STEM Berasaskan Pengajaran di Kolej MARA Seremban pada 9 Januari 2026. Program ini bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar Kolej MARA Seremban melalui demonstrasi dan aktiviti hands-on menggunakan kit inovasi pendidikan yang dibangunkan oleh pensyarah Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil.

Program ini menampilkan penggunaan kit inovasi dalam bidang Fizik, Kimia dan Biologi yang dikendalikan oleh pensyarah berpengalaman. Bagi bidang Fizik, sesi dikendalikan oleh Dr. Siti Rudhziah binti Che Balian dan Dr. Siti Aisyah binti Zawawi, manakala bidang Kimia disampaikan oleh Dr. Bazrina binti Ramly. Bidang Biologi pula dikendalikan oleh Siti Sabrina binti Kasri dan Nur Syakireen binti Ishak. Melalui pendekatan ini, para pelajar diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan kit inovasi, memahami konsep STEM secara praktikal serta mengaplikasikan teori dalam bentuk aktiviti hands-on.

Pendekatan pengajaran berasaskan pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman konsep STEM, malah turut menggalakkan kreativiti, kemahiran kerja berpasukan serta kebolehan menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar. Pendedahan secara langsung terhadap aplikasi teori dalam situasi sebenar membantu pelajar memahami kepentingan STEM dalam kehidupan seharian dan pembangunan masa hadapan.

Kolaborasi antara UiTM Kampus Dengkil dan Kolej MARA Seremban ini turut membuka ruang perkongsian ilmu antara institusi, sekali gus memperkukuh jaringan akademik dan usaha pembangunan modal insan. Penganjuran program seumpama ini diharap dapat menginspirasikan pelajar untuk meneroka bidang STEM dengan lebih yakin, kreatif dan berdaya saing, serta memupuk minat terhadap inovasi dan pembelajaran berasaskan pengalaman sejak peringkat awal pendidikan.