
PUNCAK ALAM, 21 Januari 2026 – Jabatan Grafik dan Media Digital, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (HSE), PETRONAS Dagangan Berhad telah berjaya menganjurkan HSE and Socioeconomic Literacy Showcase sebagai kesinambungan kepada inisiatif Corporate Social Investment (CSI), Beyond the Shoreline: Mangrove Planting as a Bridge to Education, Safety and Enterprise yang dilaksanakan pada Ogos 2025. Program berasaskan pembelajaran pengalaman ini menghimpunkan warga FSSR, wakil industri PETRONAS Dagangan Berhad serta Mah Meri Cultural Village (MMCV) bagi memperkukuh kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan dan pemerkasaan komuniti ini dibuat pada 19 Disember 2025.
Program ini menampilkan pelbagai pengisian termasuk ucapan alu-aluan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FSSR yang menekankan kepentingan kolaborasi antara disiplin, sesi penceritaan pengalaman dan pembentangan visual kreatif oleh pelajar, tayangan dokumentari, serta perkongsian literasi Kesihatan, Keselamatan dan Alam sekitar oleh wakil HSE PETRONAS Dagangan Berhad. Turut ditampilkan ialah tayangan video lagu tema United for Sustainability yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), serta sesi perkongsian oleh Pengarah Mah Meri Cultural Village yang mengetengahkan aspek pemeliharaan budaya dan keusahawanan komuniti.

Dalam ucapan penutup, Ketua HSE PETRONAS Dagangan Berhad, Dr. Ravi Menon, menegaskan bahawa penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam menyokong kelestarian kehidupan dan budaya komuniti Orang Asli serta memperkukuh literasi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar dalam kalangan pelajar. Beliau turut menekankan bahawa penglibatan aktif golongan muda memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan usaha kelestarian jangka panjang.
Secara keseluruhan, HSE and Socioeconomic Literacy Showcase mencerminkan pendekatan akademik holistik UiTM yang mengintegrasikan pembelajaran, industri dan komuniti, seiring dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan berpengetahuan, bertanggungjawab sosial dan berupaya memacu pembangunan lestari berimpak tinggi.
