
JENGKA, 12 November 2025 – Perpustakaan Al-Bukhari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang dengan kerjasama Jaringan Industri dan Alumni (ICAN) serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) telah berjaya menganjurkan Program Jelajah Ilmu bermula 10 hingga 12 November 2025 bertempat di UiTM Kampus Jengka. Program ini turut menerima sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik.
Program berteraskan literasi ilmu ini dirangka bagi memperkukuh budaya membaca, meningkatkan kemahiran akademik serta memupuk minat terhadap ilmu dalam kalangan pelajar. Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk sesi perkongsian ilmu, bengkel pembangunan kemahiran, aktiviti berpusatkan pelajar serta penerokaan bahan rujukan dan sumber digital di Perpustakaan Al-Bukhari.
Program ini turut menarik penyertaan seramai 213 pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, terdiri daripada pelbagai bidang seperti Penternakan, Landskap, Pemprosesan Makanan, Akuakultur dan lain‑lain. Penglibatan pelajar daripada pelbagai disiplin pengajian menjadikan program lebih dinamik dan interaktif.

Antara komponen utama program ialah sesi “Speed Reading” yang dikendalikan oleh Puan Nurfarawahidah binti Badruesham, Pustakawan Kanan, dan Puan Muniratul Husna binti Mohamad Zaki, Pustakawan Perpustakaan Al-Bukhari. Sesi ini memberikan pendedahan kepada teknik bacaan pantas yang membantu membentuk tabiat membaca yang konsisten, meningkatkan fokus dan keupayaan tumpuan serta menyokong kecemerlangan akademik pelajar. Peserta turut berpeluang menggunakan modul latihan khas untuk mempraktikkan teknik yang dipelajari.
Selain itu, Program Jelajah Ilmu turut merangkumi aktiviti penerokaan sumber digital, literasi maklumat, sesi motivasi akademik serta pengenalan kepada sumber rujukan universiti. Keseluruhan pengisian program disusun bagi melahirkan pelajar yang lebih bersedia, berpengetahuan dan cekap mengurus pembelajaran kendiri.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, program ini mengukuhkan jalinan kerjasama antara universiti, sekolah dan komuniti setempat dalam usaha membudayakan ilmu sebagai asas pembentukan generasi berakhlak dan berdaya saing.
Penganjuran Program Jelajah Ilmu 2025 ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan UiTM Cawangan Pahang dalam memartabatkan ilmu, memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas akses pendidikan kepada masyarakat.
